Skip to main content

Berita

Bengkel Penasihat Industri: Menyokong Penambahbaikan Kurikulum Program Sains Gunaan (DAU)

Oleh Puan Norain binti Ahmad Nordin
24 Jun 2025, 9:39 am
Bengkel Penasihat Industri: Menyokong Penambahbaikan Kurikulum Program Sains Gunaan (DAU)

PAGOH: Jabatan Sains dan Matematik (JSM), Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penasihat Industri bagi Program Diploma Sains Gunaan (DAU) sebagai inisiatif pemantapan kurikulum akademik melalui libat urus bersama pihak industri.

Bengkel ini bertujuan mendapatkan maklum balas dan cadangan berkaitan senario semasa pasaran kerja serta keperluan industri dalam memastikan kurikulum program kekal relevan dan berdaya saing. Bengkel ini turut menyokong usaha jabatan dalam memperkukuh keberkesanan pembelajaran berasaskan hasil (OBE) dan kebolehpasaran graduan.

Panel penasihat industri yang hadir ialah Encik Mohd Fadzil bin Hasbullah, Pengurus Kilang (Mill Manager) dari Sime Darby KKS, Kempas Melaka. Sesi dimulakan dengan pembentangan oleh Ketua Program DAU, Dr Norhaliza binti Abu Bakar berkenaan struktur dan hala tuju baharu kurikulum program, diikuti dengan perbincangan dua hala bersama wakil pensyarah.

Turut serta dalam bengkel ini ialah Ketua Jabatan JSM, Puan Norliza binti Ghazali dan tenaga pengajar Program DAU. Antara intipati utama perbincangan termasuklah pemetaan hasil pembelajaran program (PLO), integrasi kemahiran insaniah dan teknikal, pengukuhan komponen amali dalam kursus serta pendedahan industri kepada pelajar.

Selain itu, pihak industri turut mencadangkan penambahan beberapa subjek yang bersesuaian dengan keperluan semasa industri. Cadangan ini dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kerja sebenar.

Bengkel ini dirumuskan dengan penetapan tindakan susulan hasil perbincangan bersama, bagi memperkukuh kerjasama antara jabatan dan pihak industri dalam menyokong pembangunan kurikulum yang lebih mampan dan berorientasikan keperluan industri.