Skip to main content

Berita

Peranan Program Diploma UTHM Dalam Menjana TVET Termaju

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Dr Muhammad Faisal bin Ismail
02 Oktober 2025, 3:37 pm
Peranan Program Diploma UTHM Dalam Menjana TVET Termaju

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mempunyai sejarah yang panjang dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak penubuhannya sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) pada tahun 1993. Sebagai institusi yang bertapak kukuh dalam pendidikan teknikal, UTHM telah mengalami transformasi signifikan apabila dinaik taraf menjadi universiti penuh pada tahun 2007. Transformasi ini diteruskan melalui pelaksanaan Pelan Strategik 2021–2025 yang memberi tumpuan kepada menjadikan UTHM sebagai Universiti Teknousahawan Global 2030 (GTU 2030) yang memacu pendidikan TVET berteraskan inovasi, keusahawanan dan teknologi moden (UTHM News, 2021).

Di bawah Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM menawarkan tujuh program diploma merangkumi bidang kejuruteraan, sains gunaan, teknologi maklumat, dan animasi. Program-program ini telah diiktiraf oleh badan akreditasi seperti Engineering Technology Accreditation Council (ETAC), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan Malaysian Qualifications Agency (MQA), sekali gus menjamin kualiti serta piawaian antarabangsa. Kelebihan program ini turut termasuk peluang laluan terus ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM dengan pengecualian kredit, kebolehpasaran graduan yang tinggi sehingga 98%, serta pengiktirafan tambahan seperti pelaksanaan sijil kompetensi yang meningkatkan nilai graduan di pasaran kerja (CeDS UTHM, 2024).

UTHM juga melakar sejarah antara satu-satunya universiti awam yang diiktiraf sebagai Pusat Pensijilan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sekali gus membuktikan komitmen universiti dalam memperkasakan graduan dengan gabungan ijazah akademik dan kemahiran teknikal. Dalam era Revolusi Industri 4.0, UTHM mengambil langkah ke hadapan menerusi usaha pendigitalan TVET.

Penubuhan Labtech Digital Innovation Centre dan inisiatif seperti EDU TRAIN mempercepat pembangunan bahan pembelajaran digital, Massive Open Online Courses (MOOCs), serta perkongsian pintar bersama industri. Program seperti Digital TVET Transformation @ Summit 2025 (DOTS25) turut menjadi platform bagi membincangkan trend dan cabaran terkini dalam pendidikan TVET digital (UTHM TVET, 2025).

UTHM juga memperkukuh peranannya di peringkat antarabangsa dengan penyertaan aktif dalam program seperti World Vocational and Technical Education Development Conference (WVTEDC) di China. Di samping memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, universiti juga menjalankan penyelidikan berimpak tinggi seperti kajian keberkesanan Program Asasi TVET, yang membuktikan UTHM sebagai pilihan utama pelajar (UTHM News, 2024). Kajian ini juga menunjukkan kebolehpasaran graduan asasi TVET UTHM mencapai 97.3%, mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan yang dilaksanakan.

Pendekatan kurikulum diploma di UTHM dibangunkan secara holistik, menekankan keseimbangan antara teori, latihan praktikal, pengiktirafan profesional, serta pengalaman industri yang relevan. Nilai teras GRITT (Global, Resilience, Innovative, Trustworthy, Talent) diterapkan dalam semua program, bagi membentuk graduan yang beretika, berdaya tahan dan kompeten secara global.

Tambahan pula, pengajaran dan pembelajaran diperkasakan melalui penggunaan teknologi moden, simulasi, kaedah pembelajaran berasaskan masalah (PBL), dan latihan berasaskan industri yang selaras dengan keperluan pasaran kerja kontemporari.

Program diploma UTHM bukan sahaja merangkumi bidang kejuruteraan elektrik, awam, mekanikal, kimia dan sains gunaan malah melibatkan bidang teknologi maklumat dan animasi. Sehingga kini, UTHM telah menganugerahkan kepada lebih 11,000 graduan diploma yang telah menyokong kepada agenda TVET negara sejak tahun 2009.