Skip to main content

Berita

Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan Pelajar Baharu Diploma UTHM

Oleh Dr Rosfuzah binti Roslan, Dr Zuraida binti Ibrahim
02 Januari 2026, 2:20 pm
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan Pelajar Baharu Diploma UTHM

Kecerdasan Buatan Generatif (Generative Artificial Intelligence) merujuk kepada cabang kecerdasan buatan yang berupaya menjana kandungan baharu seperti teks, imej, audio, video dan kod komputer berdasarkan data yang telah dipelajari. Berbeza dengan sistem kecerdasan buatan (AI) yang tradisional yang hanya menganalisis atau mengklasifikasikan maklumat, kecerdasan buatan generatif mampu menghasilkan output yang menyerupai hasil ciptaan manusia. Teknologi ini lazimnya dibangunkan menggunakan model pembelajaran mendalam (deep learning) seperti neural networks (NN) dan large language models (LLM). Contoh aplikasi kecerdasan buatan generatif termasuk penjanaan teks automatik, penciptaan imej digital, chatbot pintar, serta bantuan dalam penulisan dan pembelajaran. Dalam konteks pendidikan, kecerdasan buatan generatif berpotensi meningkatkan pengalaman pembelajaran, namun turut menimbulkan isu berkaitan etika, ketepatan maklumat dan penggunaan bertanggungjawab.

Satu kaji selidik ringkas telah dilaksanakan oleh penyelidik-penyelidik dari kumpulan fokus Multimedia and Animation Creative Content (MA2C) dari Pusat Pengajian Diploma, tentang tahap pengetahuan dan penggunaan kecerdasan buatan generatif dalam kalangan pelajar baharu kemasukan kohort 2025/2026 (Julai 2025). Kaji selidik ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi gambaran awal kepada semua pensyarah berkenaan tahap kesedaran dan pengetahuan pelajar-pelajar generasi 'Z' serta sebagai langkah awal dalam merangka struktur pembelajaran yang turut mengambil kira peranan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara umumnya. Ini termasuk juga persediaan tentang penerangan garis panduan, polisi dan peraturan UTHM berkenaan penggunaan kecerdasan buatan generatif dalam pengajaran dan pembelajaran, berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh Pusat Pembelajaran Maya UTHM iaitu Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Digital UTHM.

Dapatan hasil kaji selidik yang diterima dari 5 program diploma (Teknologi Animasi, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Awam) didapati sebanyak 30.3% pelajar, tidak pernah menggunakan sebarang 'alat' kecerdasan buatan generatif. Ini bermakna lebih 69% pelajar sudah pernah mencuba setidaknya sekali. Ia jelas menunjukkan bahawa penggunaan kecerdasan buatan generatif telah mula tersebar di kalangan pelajar generasi ‘Z’. Rajah graf di bawah menunjukkan Tahap Kepercayaan, Keinginan Mempelajari, Keinginan Menggunakan, Dan Tahap Kepakaran Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam kalangan pelajar mengikut program diploma. Dapat disimpulkan, kepercayaan pelajar terhadap 'output' yang diberikan oleh 'alat' atau platform kecerdasan buatan generatif adalah tinggi merentas hampir semua program diploma yang terlibat dalam memberikan maklumbalas. Manakala, tahap kepakaran dalam penggunaan 'alat' atau platform kecerdasan buatan generatif masih berada di tahap sederhana atau rendah. Selain itu, statistik dapatan juga menunjukkan bahawa pelajar mempunyai keinginan yang tinggi untuk mempelajari dan menggunakan kecerdasan buatan generatif, tetapi masih memerlukan bimbingan formal.

Tahap Kepercayaan, Keinginan Mempelajari, Keinginan Menggunakan, dan Tahap Kepakaran Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif

Berikut pula adalah graf yang menunjukkan Taburan Penggunaan Platform Kecerdasan Buatan Generatif yang pernah digunakan oleh pelajar generasi 'Z'. Dapatan menunjukkan bahawa 'alat' atau platform ChatGPT (OpenAI) merupakan platform yang paling dominan digunakan, dengan peratusan tertinggi (sekitar 93%). Keadaan ini menunjukkan bahawa ChatGPT telah menjadi rujukan utama pelajar dalam mendapatkan bantuan berkaitan pembelajaran seperti penjanaan idea, penulisan, penerangan konsep dan penyelesaian masalah. 'Alat' atau platform kedua paling banyak digunakan pula ialah Google Gemini (sekitar 50%), diikuti oleh Canva AI (26%) dan Microsoft Copilot/Bing AI (18%). Penggunaan Canva AI khususnya mencerminkan minat pelajar terhadap kecerdasan buatan generatif yang menyokong reka bentuk visual dan pembentangan, manakala Copilot/Bing AI lebih digunakan dalam konteks carian maklumat dan pengekodan asas. Sebaliknya, penggunaan platform lain seperti Perplexity AI, DeepSeek, Grok dan Google AI adalah sangat rendah (sekitar 1–3%). Ini menunjukkan bahawa pelajar cenderung memilih platform yang lebih popular, mudah diakses dan mesra pengguna, berbanding 'alat' kecerdasan buatan generatif yang lebih khusus atau kurang dikenali.

Taburan Penggunaan Platform Kecerdasan Buatan Generatif

Hasil kajian ringkas ini membuktikan bahawa kecerdasan buatan generatif telah diterima secara positif dalam kalangan pelajar diploma UTHM yang terdiri dari golongan generasi 'Z', namun penggunaannya masih berada pada peringkat awal. Maka berdasarkan dapatan ini, adalah diharapkan agar institusi pendidikan dapat (i) memberi pendedahan kepada pelbagai jenis 'alat' kecerdasan buatan generatif, (ii) mendidik pelajar tentang kekuatan dan batasan setiap platform, serta (iii) memastikan penggunaan kecerdasan buatan generatif selari dengan etika dan integriti akademik. Penggunaan yang seimbang dan berinformasi akan membantu pelajar memanfaatkan kecerdasan buatan generatif sebagai alat sokongan pembelajaran yang efektif, bukan sekadar alat jalan pintas.