Berita
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan dan Perkongsian Kepakaran
BATU PAHAT: Komitmen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam memperkukuh sinergi akademia–industri terus diperkasa apabila seramai lapan staf akademik daripada kumpulan fokus Sustainable Product Development (S-Proud), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS) mengadakan lawatan teknikal serta sesi perkongsian kepakaran di sebuah perusahaan tempe tempatan milik usahawan Encik Adnan bin Suradi di Kampung Parit Lubok, Batu Pahat, Johor.
Lawatan yang diketuai oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya ini bertujuan menilai operasi pengeluaran makanan berasaskan tempe secara menyeluruh, di samping mengenal pasti potensi penambahbaikan dari aspek teknologi pemprosesan, kecekapan aliran kerja serta ergonomik persekitaran kerja. Inisiatif ini turut menjadi platform dialog dua hala yang konstruktif antara pihak akademik dan pengusaha industri kecil bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing produk tempatan.
Menurut pemilik perusahaan, operasi pengeluaran dijalankan secara berjadual dengan kitaran pemprosesan yang konsisten. Tempe dibentuk secara silinder dan melalui proses kisaran menggunakan mesin separa automatik sebelum digaul bersama serbuk kari, digoreng menggunakan tiga kuali, ditos minyak dan dibungkus untuk pasaran dalam unit lima kilogram setiap bundle. Bekalan bahan mentah diperoleh daripada pembekal tempatan sekitar Batu Pahat, sekali gus menyokong ekosistem ekonomi setempat.
Pendekatan mampan turut diamalkan apabila lebihan tempe yang hancur diproses semula menjadi sambal goreng sebagai produk nilai tambah, sekali gus mengurangkan pembaziran. Perusahaan ini juga berperanan sebagai pemangkin sosial dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan ibu tunggal, mencerminkan sumbangan langsung kepada kesejahteraan komuniti.
Hasil pemerhatian pasukan akademik mendapati penggunaan mesin dalam proses penghirisan telah meningkatkan kecekapan, namun aspek ergonomik masih memerlukan penambahbaikan khususnya bagi kerja berulang dalam tempoh panjang yang berpotensi menjejaskan keselesaan serta keselamatan pekerja. Cadangan penyelesaian teknikal berasaskan prinsip ergonomik dan automasi dikenal pasti sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keberkesanan operasi.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor