Berita
Majlis Anugerah Inspirasi CeDS 2024 Raikan Kecemerlangan Staf Akademik dan Pentadbiran
PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Inspirasi CeDS 2024 dengan penuh meriah bertempat di Restoran Nasuha Herbs, Pagoh, bagi menghargai pencapaian cemerlang staf akademik dan pentadbiran sepanjang tahun 2024. Majlis yang berlangsung dari jam 9:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah turut menyemai budaya kecemerlangan dalam kalangan komuniti akademik CeDS.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para staf, diikuti dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dr Afandi bin Ahmad dan Dekan Pusat Pengajian Diploma, Dr Muhammad Faizal bin Ismail yang disambut dengan nyanyian lagu Bangsa Johor dan Negaraku. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis dan Dekan, serta ucapan perasmian oleh Provost yang turut menyempurnakan perasmian melalui simbolik gimik pelancaran.
Majlis ini menyaksikan penyampaian sebanyak 25 anugerah merangkumi pelbagai kategori dalam empat portfolio utama iaitu Pentadbiran (Dekan), Pembelajaran dan Pengajaran (TDA), Penyelidikan dan Inovasi (TDPPP), dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA). Anugerah diberikan kepada staf yang menunjukkan pencapaian luar biasa dalam aspek pengajaran, penyelidikan, inovasi, sokongan pelajar, serta kepimpinan dan pentadbiran.
Antara penerima utama ialah Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa yang menerima dua anugerah berprestij iaitu Anugerah Penyelidikan Terbaik dan Anugerah Inspirasi CeDS. Turut menyerlah ialah Dr Noorul Hudai binti Abdullah dengan dua anugerah iaitu Penerbitan Terbaik dan Inovasi Terbaik. Sementara itu, Kumpulan Fokus ICT for Technology Humanization (ITecH) pimpinan Ts Inv. Dr Shelena a/p Soosay Nathan dinobatkan sebagai pemenang Kumpulan Fokus Terbaik (Tempat Pertama), membuktikan komitmen berpasukan dalam penghasilan impak penyelidikan.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj pembukaan, serahan cenderahati, cabutan bertuah, serta nyanyian lagu rasmi UTHM sebelum ditutup dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari.
Majlis Anugerah Inspirasi ini bukan sahaja menjadi medan penghargaan, malah sebagai pemangkin untuk menyuntik semangat baharu kepada seluruh warga CeDS agar terus berusaha ke arah kecemerlangan institusi. Penganjuran ini membuktikan komitmen CeDS dalam mengiktiraf dan memartabatkan usaha staf dalam memacu nama UTHM ke peringkat yang lebih tinggi, sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor