Skip to main content

Berita

Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidikan ke ITEX 2026

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya
29 Januari 2026, 9:58 am
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidikan ke ITEX 2026

BATU PAHAT: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Sesi Penilaian Produk Penyelidikan bagi tujuan pemilihan produk inovasi terbaik yang akan mewakili universiti ke 37th International Invention, Innovation Technology Competition and Exhibition (ITEX 2026).

Sesi penilaian ini berlangsung pada Khamis, 29 Januari 2026, bertempat di Bilik Persidangan Aras 1, Bangunan Penyelidikan, UTHM Batu Pahat melibatkan dua sesi iaitu sesi pagi dari 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sesi petang dari 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Seramai 24 orang staf akademik terlibat dalam sesi penilaian ini, dengan penyertaan dua orang wakil bagi setiap fakulti, termasuk wakil daripada Pusat Pengajian Diploma. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasa budaya penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan hasil penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagi Pusat Pengajian Diploma (CeDS), dua orang staf akademik dipilih sebagai wakil iaitu Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad dengan projek bertajuk CymboTech Cutter, serta Encik Mohamad Fazirul Rafiq Bin Afandi yang mempertaruhkan projek He-Story Jump! Mat Kilau Side-Scroller RPG Game. Kedua-dua projek ini mengetengahkan inovasi dalam bidang teknologi dan kreatif yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan di pentas antarabangsa.

Penilaian ini bertujuan menilai tahap inovasi, kebolehlaksanaan serta potensi pengkomersialan setiap produk yang dibentangkan. Penganjuran sesi ini selari dengan aspirasi UTHM yang berteraskan slogan Dengan Hikmah Kita Meneroka serta mendukung gagasan Malaysia Madani, ke arah melahirkan inovasi berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Pihak ICC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama dan komitmen semua staf akademik yang terlibat dalam menjayakan sesi penilaian ini, sekali gus memperkukuh kedudukan UTHM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam bidang inovasi dan penyelidikan.