Skip to main content

Berita

Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Discover FKEE Perkasa Pendedahan Akademik dan Inovasi

Oleh Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon
13 Januari 2026, 2:11 pm
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Discover FKEE Perkasa Pendedahan Akademik dan Inovasi

PARIT RAJA: Seramai 30 orang pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik bersama 4 orang pegawai pengiring telah menyertai satu lawatan akademik ke Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Lawatan tersebut adalah Program Discover FKEE Bersempena Program FKEE Innovation Day 2026.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap persekitaran pembelajaran di peringkat ijazah, kemudahan akademik di kampus induk serta ekosistem inovasi yang menyokong pembangunan kemahiran teknikal dan insaniah. Lawatan ini adalah susulan promosi yang telah dijalankan oleh pihak FKEE di CeDS sebelum ini.

Antara pengisian utama lawatan adalah lawatan ke Perpustakaan Tunku Tun Aminah yang telah disampaikan oleh Encik Raja Nor Azlan bin Sulaiman, di mana pelajar diberi penerangan mengenai kemudahan, sumber rujukan dan sokongan pembelajaran yang disediakan untuk pelajar universiti.

Seterusnya, pelajar turut dibawa melawat Makerspace UTHM, dengan perkongsian oleh Ts Tengku Nadzlin bin Tengku Ibrahim dan Ts Ahmad Alabqari bin Ma'radzi. Lawatan ini memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan kemudahan prototaip, inovasi, serta aktiviti hands-on yang menyokong pembangunan idea kreatif dan kejuruteraan.

Program lawatan ini turut merangkumi sesi promosi Program Ijazah Sarjana Muda yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Elektronik, FKEE, Dr Wan Suhaimizan bin Wan Zaki. Sesi ini memberi maklumat jelas kepada pelajar berkaitan program yang ditawarkan, laluan pengajian, prospek kerjaya serta peluang melanjutkan pengajian selepas tamat diploma.

Selain itu, pelajar juga berpeluang menghadiri FKEE Innovation Day, satu platform pameran dan pertandingan inovasi yang mempamerkan hasil kreatif pelajar dan penyelidik. Program ini turut diserikan dengan kehadiran pempengaruh Mek Yun sebagai juri jemputan. Beliau merupakan Alumni CeDS dan FKEE UTHM, sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar diploma untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan kerjaya.

Penganjuran lawatan akademik ini diharap dapat meningkatkan motivasi pelajar, memperluas pendedahan terhadap dunia akademik dan inovasi, serta menyokong usaha CeDS dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia untuk melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.