Skip to main content

Berita

Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala Studios dan WAU Animation

Oleh Encik Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi
19 Januari 2026, 4:00 pm
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala Studios dan WAU Animation

CYBERJAYA: Seramai 25 orang pelajar Diploma Teknologi Animasi bersama enam orang pensyarah sebagai pegawai pengiring telah menyertai satu lawatan industri ke Warnakala Studios serta Wau Animation Sdn Bhd, Cyberjaya pada 19 Januari 2026. Lawatan ini dianjurkan menerusi program A-Trip Animation Studios di bawah seliaan Encik Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi bagi kursus 3D Character Animation. Manakala Encik Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad, Encik Mohammad Haikal Danial bin Mohammad Jota, Encik Muhammad Amirul bin Razali, Dr Mohd Khairul Nizam bin Mohd Zuhan serta Ts Bakhreza binti A Talip turut terlibat sebagai pensyarah pengiring bagi lawatan tersebut.

Lawatan industri ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar terhadap persekitaran kerja sebenar dalam industri animasi tempatan, khususnya berkaitan aliran produksi animasi profesional, budaya kerja studio serta keperluan kemahiran oleh industri kreatif semasa.

Sepanjang lawatan, pelajar telah didedahkan kepada proses penghasilan animasi bermula daripada peringkat pra-produksi, produksi sehingga pasca-produksi. Pihak Warnakala Studios dan Wau Animation Sdn Bhd turut berkongsi pengalaman industri, struktur organisasi studio serta peranan pelbagai jawatan dalam susun alur animasi seperti papan cerita, pemodalan, takal pada watak, animasi dan penyusunan.

Selain itu, sesi perkongsian bersama wakil industri turut memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan, termasuk kepentingan portfolio, disiplin kerja, kemahiran komunikasi serta kemampuan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja berpasukan.

Lawatan ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk bertanya secara langsung berkaitan peluang latihan industri, kerjaya dalam bidang animasi serta cabaran sebenar yang dihadapi oleh penggiat industri kreatif tempatan. Interaksi ini secara tidak langsung meningkatkan kefahaman pelajar terhadap realiti industri berbanding pembelajaran secara teori di bilik kuliah.

Selain itu, semasa sesi lawatan di Warnakala Studios, satu sesi tandatangan Surat Niat (LOI) telah dijalankan di antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Bersama Warnakala Studios bagi menjalinkan hubungan akademik dan industri pada masa akan datang. Sesi tandatangan tersebut diwakili oleh Encik Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi serta Encik Nur Faisal Akmal bin Sharuddin, Pengurus Kanan Sumber Manusia, Warnakala Studios.

Penganjuran program A-Trip Animation Studios diharap dapat meningkatkan motivasi pelajar, memperkukuh kefahaman terhadap keperluan industri animasi serta membantu melahirkan graduan Diploma Teknologi Animasi yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri kreatif selepas tamat pengajian.