Berita
Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia Serlah Inovasi Projek Tahun Akhir Bersama Panel Industri
PAGOH: Program pembentangan projek tahun akhir (FYP) bagi pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung dengan jayanya pada 23 dan 24 Jun 2025. Program ini melibatkan seramai 64 orang pelajar merangkumi 23 kumpulan, telah membentangkan hasil inovasi dan kajian teknikal yang dijalankan selama 2 semester di tahun akhir pengajian mereka.
Pada hari pertama, kesemua kumpulan telah menjalani sesi pembentangan dan penilaian di peringkat jabatan yang dikendalikan oleh barisan pensyarah dari Jabatan Sains dan Matematik. Penilaian memberi tumpuan kepada kriteria seperti kefahaman teknikal, ketepatan analisis data, keberkesanan penyelesaian masalah yang dilakukan serta potensi aplikasi dalam industri.
Menariknya, pada hari kedua program, sebanyak lima kumpulan terbaik telah terpilih untuk membentangkan projek mereka di hadapan Panel Penasihat Industri Program DAK Ts Nor Jannatun Adni Binti Ibrahim. Sesi ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menerima maklum balas secara terus daripada wakil industri, di samping memperkukuh hubungan sinergi antara institusi akademik dan pihak industri.
Penganjuran program ini bertujuan untuk menilai pencapaian hasil pembelajaran pelajar secara holistik, khususnya dalam aspek penyelidikan, penyelesaian masalah, dan inovasi kejuruteraan. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk mendedahkan pelajar kepada suasana pembentangan profesional yang menepati standard industri.
Antara faedah utama program ini kepada pelajar termasuklah peningkatan kemahiran komunikasi teknikal, pembangunan keyakinan diri dalam menyampaikan idea secara berstruktur, serta pendedahan kepada realiti dan keperluan sebenar dalam sektor industri. Selain itu, sesi ini turut membuka ruang untuk peluang kolaborasi masa hadapan, termasuk latihan industri, penyelidikan bersama dan prospek kerjaya.
Secara keseluruhannya, program pembentangan ini membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, malah berdaya saing dan bersedia untuk menyumbang secara aktif dalam dunia pekerjaan dan pembangunan negara.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor