Skip to main content

Berita

Keringat dan Air Mata di Sebalik Kejayaan Qosmic: Himbaan Tungor

Oleh Encik Mokhtar bin Yahya
03 September 2025, 9:45 pm
Keringat dan Air Mata di Sebalik Kejayaan Qosmic: Himbaan Tungor

JOHOR BAHRU: Belacak Studio, syarikat pemula animasi Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM Cawangan Pagoh, mencatat kejayaan membanggakan apabila karya mereka, Qosmic: Himbaan Tungor, dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama dalam Pertandingan Akhir Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre. Kemenangan ini sekali gus mengekalkan rekod UTHM sebagai juara kategori animasi pendek untuk dua tahun berturut-turut.

Karya tersebut dihasilkan oleh Amni Mad Islaihi, Nur Aqilah Mohd Shafiee, Muhammad Denish Mat Selan dan Wan Salma Nasreen Husswan Hadi, yang berdepan pelbagai cabaran sepanjang pembikinan animasi. Mereka perlu mengimbangi komitmen latihan industri dan tugasan akademik di samping sesi produksi intensif, termasuk bekerja sehingga lewat malam bagi memastikan setiap aspek visual dan penceritaan mencapai standard yang ditetapkan. Usaha gigih tersebut disertai keringat dan air mata demi memastikan penghasilan karya yang terbaik.

Tekanan turut memuncak apabila mereka memerlukan peralatan komputer berprestasi tinggi bagi tujuan rendering dalam tempoh masa yang terhad. Namun, meskipun berdepan kekangan teknikal dan masa, penambahbaikan terus dilakukan sehingga ke hari pertandingan sebelum karya tersebut dipersembahkan kepada panel juri dan penonton.

Penghargaan turut dirakamkan kepada mentor, Encik Mohamad Fazirul Rafiq Afandi dan Encik Mokhtar Yahya, atas bimbingan dan dorongan yang diberikan sepanjang proses pembangunan projek, dari peringkat konsep sehingga pelaksanaan akhir. Sokongan daripada warga Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) UTHM juga membantu melancarkan keseluruhan perjalanan penghasilan animasi ini.

“Kejayaan ini amat bermakna kerana ia lahir daripada pengorbanan masa, kerja keras dan sokongan ramai pihak. Kami berterima kasih atas tunjuk ajar mentor serta bantuan yang diterima sepanjang proses ini”, ujar Amni Mad Islaihi.

Kejayaan Qosmic: Himbaan Tungor bukan sahaja membuktikan keupayaan pelajar Diploma Teknologi Animasi CeDS dalam bidang animasi dan industri kreatif, malah mengukuhkan reputasi UTHM sebagai institusi yang konsisten melahirkan bakat muda yang kompeten dan berdaya saing di peringkat nasional.