Skip to main content

Berita

Majlis Santai Bersama PAK Eratkan Silaturahim Warga Kampus UTHM Pagoh

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
14 Januari 2026, 9:46 am
Majlis Santai Bersama PAK Eratkan Silaturahim Warga Kampus UTHM Pagoh

PAGOH: Satu Majlis Santai Bersama Penasihat Akademik & Kerjaya (PAK) telah berlangsung dengan jayanya di Kafe Kampus, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, petang Rabu. Majlis yang bermula jam 4.00 petang itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara PAK dan para pelajar dalam suasana santai dan mesra.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi Wakil Pelajar, Muhammad Daniel Amerul bin Muztalmi sebelum diteruskan dengan ucapan PAK, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, yang menyampaikan amanat serta nasihat penting kepada para pelajar berkaitan kecemerlangan akademik dan kesejahteraan diri. Sesi jamuan bermula pada jam 4:30 petang dengan hidangan nasi ayam crispy buttermilk serta minuman sirap ais, sebelum majlis bersurai sekitar jam 5.00 petang.

Dalam ucapannya, Ts Inv. Mahmod menekankan kepentingan menjaga kesihatan sepanjang tempoh ulang kaji, di samping menggalakkan pelajar memberi fokus kepada soalan tahun lepas sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir. Beliau turut menyarankan agar pelajar menetapkan sasaran pencapaian akademik yang tinggi, khususnya dengan berusaha memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 ke atas pada setiap semester.

Selain aspek akademik, beliau turut mengingatkan pelajar agar sentiasa berhubung dengan ibu bapa, peka terhadap tarikh pendaftaran subjek semester baharu, serta merancang strategi markah yang ingin dicapai dalam peperiksaan akhir. Aspek kerohanian juga ditekankan dengan menggalakkan pelajar sentiasa melakukan ibadah agar setiap usaha diberkati. Ts Inv. Mahmod turut membuka ruang kepada pelajar untuk berjumpa beliau sekiranya berdepan sebarang masalah peribadi atau akademik.

Majlis ini dilihat sebagai platform berkesan untuk memperkukuh hubungan antara PAK dan pelajar serta menyemai kesedaran tentang kepentingan keseimbangan akademik, sahsiah dan kerohanian dalam kehidupan kampus. Diharapkan segala nasihat dan peringatan yang disampaikan dapat diambil cakna demi kebaikan dan kejayaan pelajar pada masa hadapan.