Skip to main content

Berita

Karnival Mini Labland Perkasa Penguasaan STEM Mahasiswa Diploma Sains Gunaan UTHM

Oleh Puan Rozainita binti Rosley
14 Januari 2026, 5:43 am
Karnival Mini Labland Perkasa Penguasaan STEM Mahasiswa Diploma Sains Gunaan UTHM

PAGOH: Seramai 65 orang mahasiswa Tahun 1 Diploma Sains Gunaan (1DAU) daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan program General Chemistry and Cell Biology: Labland Carnival bertempat di Makmal Biologi, Struktur dan Fungsi, UTHM Pagoh.

Program yang berteraskan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) ini merupakan sebuah projek Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) yang bertujuan untuk memberikan pengalaman praktikal kepada mahasiswa dalam menguruskan program sambil memperkukuh kefahaman mereka terhadap subjek Kimia Am dan Biologi Sel yang dipelajari pada semester ini.

Antara pengisian utama karnival ini termasuklah sesi pembentangan model 3-dimensi struktur protein bagi subjek Biologi Sel serta penghasilan infografik kreatif mengenai Jadual Berkala bagi subjek Kimia Am. Melalui aktiviti interaktif ini, pelajar bukan sahaja dapat menunjukkan daya inovasi dalam penghasilan prototaip, malah berpeluang meningkatkan kemahiran komunikasi saintifik di hadapan panel juri yang dilantik juga dari Jabatan Sains dan Matematik.

Melalui program ini, diharap agar inisiatif seperti ini dapat terus memupuk minat dan pemikiran kritis dalam kalangan bakal graduan sains demi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.


General Chemistry and Cell Biology: Labland Carnival