Skip to main content

Berita

UTHM Perkukuh Promosi Program Pengajian di Jom Masuk Universiti 2026 Zon Wilayah

Oleh Fawwaz bin Mohd Nasir
01 Februari 2026, 7:24 pm
UTHM Perkukuh Promosi Program Pengajian di Jom Masuk Universiti 2026 Zon Wilayah

PUTRAJAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Wilayah yang berlangsung dari 29 Januari hingga 1 Februari 2026 di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, sebagai usaha berterusan universiti dalam memperluas capaian maklumat dan promosi pendidikan tinggi kepada masyarakat.

Program anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini telah dirasmikan pada 31 Januari 2026 oleh YB Dato' Seri Diraja Dr Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan universiti awam, termasuk Naib Canselor UTHM, YBrs. Profesor Dr Mas Fawzi bin Mohd Ali, yang menunjukkan komitmen berterusan UTHM dalam menyokong agenda pendidikan negara.

Penyertaan UTHM dalam JMU 2026 Zon Wilayah, yang dianjurkan serentak dengan Hari Terbuka Putrajaya 2026, memberi peluang strategik kepada universiti untuk berinteraksi secara langsung dengan pelbagai lapisan pengunjung. Sepanjang program, UTHM membuka reruai pameran bagi mempromosikan program pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan pasca siswazah, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

Selain mempromosikan program pengajian, wakil UTHM turut memberikan penerangan terperinci mengenai laluan kemasukan ke program sarjana muda, termasuk peluang melanjutkan pengajian daripada peringkat diploma serta kelayakan akademik lain yang diiktiraf. Pendekatan ini mendapat sambutan positif daripada pengunjung yang hadir bagi mendapatkan panduan jelas mengenai hala tuju pendidikan mereka.

Majoriti pengunjung reruai UTHM terdiri daripada pelajar menengah atas dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di samping lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), lepasan diploma dalam jumlah yang signifikan, serta sebahagian lepasan ijazah sarjana yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Secara keseluruhan, penyertaan UTHM dalam Program Jom Masuk Universiti 2026 Zon Wilayah ini telah memperkukuh peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang proaktif dalam menyampaikan maklumat, membimbing pelajar, serta menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperluas akses dan peluang pendidikan kepada masyarakat.