Skip to main content

Berita

Langkah Pertama ke Menara Gading: Eduseed SMK Bukit Jambul 2026

Oleh Puan Shazana binti Hashim
05 Februari 2026, 4:16 pm
Langkah Pertama ke Menara Gading: Eduseed SMK Bukit Jambul 2026

PULAU PINANG: Program Pameran Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan (EDUSEED) telah berlangsung dengan jayanya di SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang pada hari Khamis, 5 Februari 2026. Program ini dianjurkan sebagai platform pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

Seramai 30 pempamer yang terdiri daripada kolej, universiti awam serta politeknik telah mengambil bahagian dalam pameran ini. Antara institusi yang terlibat termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mempromosikan pelbagai program akademik merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi, pengurusan dan sains sosial.

Sepanjang program berlangsung, wakil dari Pusat Pengajian Diploma, UTHM iaitu Puan Shazana dan Dr Nurul Syakeera telah memberikan penerangan terperinci berkaitan syarat-syarat kemasukan, laluan pengajian, kelebihan program yang ditawarkan serta kemudahan dan fasiliti yang tersedia di kampus seperti makmal moden, perpustakaan digital, kemudahan kolej kediaman dan sokongan pembelajaran. Sesi interaksi dua hala turut diadakan bagi memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya secara langsung berkaitan hala tuju kerjaya dan prospek graduan.

Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5, dengan keutamaan penyertaan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 sebagai persediaan menghadapi perancangan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, program ini turut dihadiri oleh pelajar dan guru daripada beberapa sekolah berhampiran yang mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pendidikan tinggi.

Penganjuran EDUSEED ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam membantu pelajar membuat keputusan yang lebih jelas dan berinformasi mengenai pilihan pengajian selepas tamat persekolahan. Program sebegini bukan sahaja membuka ruang jaringan antara institusi pendidikan dan sekolah, malah menyemai kesedaran awal tentang kepentingan perancangan akademik dan kerjaya dalam kalangan pelajar.

Secara keseluruhannya, Pameran Pendidikan SMK (EDUSEED) di SMK Bukit Jambul telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasakan akses maklumat pendidikan tinggi serta memberi inspirasi kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.