Berita
Lebih 140 Pelajar Diploma UTHM Dapat Manfaat Melalui Program Ceramah Industri Bersama CTRM Aero Composite

PAGOH: Seramai lebih 140 pelajar diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima manfaat melalui penganjuran Program Ceramah Industri bagi Kursus Kejuruteraan Industri (DAM23702) yang dianjurkan oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM secara dalam talian. Program yang berlangsung selama dua jam bermula 8 malam hingga 10 malam melalui platform Google Meet itu menampilkan dua penceramah industri daripada CTRM Aero Composite Sdn Bhd iaitu Encik Mohd Khairi bin Rahim dan Puan Intan Fazilah binti Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan CeDS, UTHM yang menekankan kepentingan pendedahan industri kepada pelajar sebagai persediaan awal sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar. Beliau turut menyatakan bahawa kolaborasi strategik bersama pihak industri mampu meningkatkan kompetensi, keyakinan serta kebolehpasaran graduan TVET selaras dengan kehendak industri semasa. Program ini merupakan salah satu inisiatif akademik dan pemindahan ilmu di bawah Kumpulan Fokus Sustainable Product Development (S-ProuD), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM dalam memperkukuhkan hubungan universiti-industri serta memperkasakan pengalaman pembelajaran berimpak tinggi kepada pelajar.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan dengan perkongsian pengalaman sebenar dunia industri melibatkan sektor aeroangkasa dan pembuatan komposit berteknologi tinggi. Antara perkongsian utama termasuk pengurusan operasi industri, budaya kerja profesional, pengurusan kualiti, keselamatan industri serta cabaran sebenar yang dihadapi oleh graduan dalam memenuhi kehendak industri masa kini. Selain itu, sesi interaktif bersama penceramah turut membuka ruang kepada pelajar untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan hala tuju kerjaya, kemahiran yang diperlukan industri dan persediaan sebelum menjalani latihan industri atau memasuki alam pekerjaan sebenar. Penyertaan aktif lebih 140 pelajar membuktikan komitmen tinggi warga pelajar UTHM dalam memperkukuhkan pengetahuan dan meningkatkan kesiapsiagaan diri ke arah menjadi graduan yang lebih kompetitif serta relevan dengan perkembangan industri semasa. Penganjuran program seperti ini selaras dengan aspirasi UTHM dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan TVET yang holistik, berimpak tinggi dan berorientasikan industri.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
