Skip to main content

Berita

Pupuk Tabiat Makan Sihat, Pelajar UTHM Turun Padang Dekati Murid Tadika

Oleh Dr Siti Samahani binti Suradi
11 Mei 2026, 5:24 pm
Pupuk Tabiat Makan Sihat, Pelajar UTHM Turun Padang Dekati Murid Tadika

MUAR: Seramai 31 mahasiswa Program Sains Gunaan daripada Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya melaksanakan Program Nutrisi Junior Genius di Tadika Awal Genius, hari ini. Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini bermatlamat untuk mengintegrasikan pembelajaran akademik dalam bidang sains makanan dengan khidmat komuniti secara praktikal.

Kehadiran para mahasiswa ini bertujuan untuk menerapkan pemahaman mengenai pemakanan seimbang seawal peringkat prasekolah bagi menjamin pertumbuhan fizikal dan perkembangan minda yang optimum. Selain itu, program ini menjadi medan buat mahasiswa mengasah kemahiran insaniah serta kepimpinan dalam mengendalikan projek komuniti berskala sebenar.

Pelaksanaan aktiviti ini diselia rapi oleh Dr Siti Samahani binti Suradi selaku penasihat program bersama enam pensyarah penilai bagi memastikan kualiti penyampaian. Turut hadir menyokong usaha murni ini ialah pemilik premis, Cik Najiha Najwa binti Rahmat, yang menyifatkan program ini sebagai langkah strategik yang selari dengan agenda Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar.

Melalui pendekatan interaktif, murid-murid didedahkan kepada amalan gaya hidup sihat secara menyeronokkan. Usaha ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada kesihatan kanak-kanak, malah memperkukuh jati diri mahasiswa sebagai graduan yang prihatin dan berwibawa dalam membawa perubahan kepada masyarakat setempat.


Nutrisi Junior Genius