Skip to main content

Berita

20 Pelajar CeDS UTHM Sertai Program RYTMA, Eratkan Hubungan Belia dan Warga Emas

Oleh Dr Muhammad Azri bin Othman
20 Mei 2026, 4:19 pm
20 Pelajar CeDS UTHM Sertai Program RYTMA, Eratkan Hubungan Belia dan Warga Emas

MUAR: Seramai 20 orang pelajar Skuad Sukarelawan Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Pagoh telah menyertai Program RYTMA – Ritma Kehidupan Harmoni anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Muar di Wellness Hub Muar.

Program ini turut melibatkan penyertaan warga emas daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Mukim Bakri, Parit Keroma dan Bukit Pasir, yang bersama-sama memeriahkan pelbagai aktiviti interaktif serta pengisian kesihatan yang telah dirangka khusus bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan interaksi antara generasi.

Program RYTMA ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan serta menyemai nilai-nilai kemanusiaan dalam kalangan belia melalui penglibatan langsung bersama komuniti setempat. Pendekatan ini dilihat mampu memperkukuh hubungan sosial antara generasi muda dan warga emas, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesejahteraan komuniti.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YM Ungku Mohamed Alif bin Ungku Farouk selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Muar.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak JKM Daerah Muar serta institusi pengajian tinggi dalam memperkasa agenda kesukarelawanan dan pembangunan komuniti yang inklusif.