Berita
Lawatan Industri ke Kilang Kelapa Sawit (KKS) SD Guthrie Pagoh Menyingkap Potensi Kerjasama Universiti-Industri

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS) di bawah Kumpulan Fokus SURE telah mengadakan lawatan industri ke Kilang Kelapa Sawit (KKS) SD Guthrie Pagoh pada 19 Mei 2026 bermula jam 4.00 petang. Lawatan ini memberi tumpuan kepada proses rawatan air sisa industri kelapa sawit serta pendedahan berkaitan teknologi dan pengurusan sisa yang diamalkan di kilang berkenaan.
Lawatan ini dikendalikan oleh Dr Mohd Khairul Nizam bin Mohd Zuhan dengan bantuan Dr Muhammad Sufi bin Roslan serta disertai oleh beberapa orang pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK). Program ini menjadi platform pendedahan kepada warga akademik, penyelidik dan pelajar UTHM mengenai operasi pemprosesan kelapa sawit, khususnya sistem rawatan air sisa kilang sawit atau Palm Oil Mill Effluent (POME) sebelum dilepaskan secara selamat ke alam sekitar.
Sepanjang lawatan, peserta didedahkan kepada sistem rawatan POME yang menggunakan gabungan proses fizikal dan biologi bagi mengurangkan kandungan bahan pencemar dalam air sisa. Antara konsep yang diterangkan termasuk proses pemendapan dan pemisahan graviti yang membantu pengasingan minyak, pepejal terampai dan air sisa sebelum rawatan biologi dijalankan. Selain itu, aliran air sisa antara kolam juga direka menggunakan konsep aliran graviti bagi mengurangkan penggunaan tenaga operasi.
Secara umumnya, sistem rawatan air sisa di kilang ini melibatkan beberapa peringkat utama bermula daripada kolam sisa mentah bagi pengumpulan dan penyejukan awal efluen. Air sisa kemudiannya melalui proses rawatan anaerobik untuk mengurangkan kandungan bahan organik dan seterusnya dirawat di kolam aerobik bagi meningkatkan lagi kualiti efluen melalui tindakan mikroorganisma dalam kehadiran oksigen terlarut. Efluen yang telah dirawat akan dipantau di kolam pelepasan akhir (final discharge pond atau polishing pond) sebelum dilepaskan ke alam sekitar mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Program yang berakhir pada jam 6.00 petang ini turut melibatkan sesi perkongsian dan perbincangan ringkas berkaitan operasi kilang kelapa sawit, khususnya sistem pengurusan dan rawatan air sisa industri (Palm Oil Mill Effluent, POME) yang diamalkan di kilang tersebut. Selain itu, turut dibincangkan beberapa potensi aktiviti penyelidikan berkaitan rawatan air sisa dan teknologi alam sekitar yang boleh diterokai pada masa hadapan.
Pihak CeDS UTHM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SD Guthrie atas kesudian menerima lawatan ini dan berharap program seumpama ini dapat terus memberi manfaat kepada warga akademik dan pelajar di UTHM Kampus Pagoh.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
