Skip to main content

Berita

Mahasiswa Sains UTHM Teroka Inovasi Industri Nanas di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

Oleh Dr Siti Samahani binti Suradi
18 Mei 2026, 5:31 pm
Mahasiswa Sains UTHM Teroka Inovasi Industri Nanas di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

PONTIAN: Seramai 33 mahasiswa Diploma Sains Gunaan dari Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), bersama tujuh pensyarah pengiring, telah mengadakan lawatan akademik ke Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) baru-baru ini.

Program strategik di bawah kursus Asas Sains Makanan dan Teknologi ini bertujuan mendedahkan mahasiswa kepada rantaian industri agromakanan negara serta mengintegrasikan silabus akademik dengan aplikasi realiti.

Sepanjang lawatan, para peserta didedahkan dengan ekosistem industri yang holistik. Ini merangkumi kaedah penanaman nanas yang efisien bagi memastikan kualiti buah yang konsisten mengikut standard pasaran. Selain itu, delegasi turut meneroka aspek kelestarian melalui teknologi hiliran, seperti pemprosesan sisa nanas menjadi makanan ternakan lembu serta kaedah penyimpanan daging yang efektif.

Kemuncak lawatan menyaksikan para pelajar berpeluang menjalankan penilaian kualiti dan sensorik ke atas produk inovasi premium. Antaranya termasuklah varieti nanas berkualiti, hidangan daging berasaskan ternakan makanan sisa nanas, serta pembuatan kuih tart nanas organik bermutu tinggi.

"Program ini bukan sekadar pengukuhan akademik, malah pemangkin kemahiran kritis, pemerhatian, dan komunikasi mahasiswa", jelas Penasihat Program, Dr Siti Samahani binti Suradi. Kolaborasi dinamik antara UTHM dan LPNM ini jelas mencerminkan komitmen jalinan universiti-industri dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, dan sedia menerajui sektor industri makanan negara.


Lawatan Industri Diploma Sains Gunaan ke Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia