Skip to main content

Berita

Pelajar DAK Sertai Kursus Pensijilan AutoCAD untuk P&ID Drafting

Oleh Dr Mohd Khairul Nizam bin Mohd Zuhan
17 Mei 2026, 5:40 pm
Pelajar DAK Sertai Kursus Pensijilan AutoCAD untuk P&ID Drafting

PAGOH: Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dengan kerjasama Pusat Teknologi Industri (PiTC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), serta UTHM Bitara (Advanced Centre for Continuing Education), telah menganjurkan Kursus Pensijilan AutoCAD untuk Plant and Instrumentation Diagram (P&ID) Drafting pada 15 hingga 17 Mei 2026.

Program selama tiga hari ini disertai oleh 15 orang pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK), UTHM Kampus Pagoh. Kursus ini bertujuan meningkatkan kompetensi pelajar dalam penggunaan perisian AutoCAD serta memberi pendedahan kepada penyediaan lukisan P&ID yang penting dalam industri kejuruteraan proses, pembuatan dan operasi loji.

Sepanjang kursus, peserta mengikuti latihan intensif yang merangkumi asas AutoCAD, arahan lukisan teknikal, penggunaan simbol industri serta pembangunan lukisan P&ID secara sistematik. Peserta turut menjalani latihan amali dan ujian kompetensi bagi menilai tahap penguasaan kemahiran.

Kursus ini dikendalikan oleh Dr Mohd Haiqal bin Abd Aziz dan Ts. Dr Nurdalila Binti Saji. Penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuh kemahiran teknikal pelajar, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan pelajar DAK dengan pendedahan industri yang relevan.