Berita
UTHM Perkasa TVET Melalui Program Pemindahan Ilmu Sistem Hidraulik

PAGOH: Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu (KTP) TVET bertemakan Mechanical Engineering Discovery Day: Eksplorasi Sistem Hidraulik bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai teknologi dan aplikasi sistem hidraulik.
Program yang berlangsung di Makmal Teknologi Kejuruteraan Sumber Air, UTHM Kampus Pagoh itu melibatkan penyertaan 42 pelajar bersama empat guru pengiring daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Pagoh Perdana serta Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Muar.
Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan konsep asas sistem hidraulik termasuk prinsip Pascal melalui aktiviti Mini Hydraulic Lift seperti Hydraulic Press, Hydraulic Lifting dan Hydraulic Jack yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dan fasilitator UTHM. Pendekatan pembelajaran secara eksperimen dan amali ini bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang kejuruteraan mekanikal serta memahami aplikasi teknologi dalam kehidupan harian dan industri.
Selain itu, demonstrasi sistem saluran terbuka turut dipamerkan bagi menunjukkan aplikasi dalam pembinaan empangan. Penerangan turut menekankan bagaimana prinsip aliran bendalir digunakan dalam reka bentuk dan pengukuran aliran air bagi memastikan kestabilan struktur serta kecekapan pengurusan sumber air.
Peserta juga berpeluang melawat reruai Karnival Projek Tahun Akhir (FYP) serta terlibat dalam aktiviti pemilihan reruai terbaik sebagai platform pengayaan ilmu dan pendedahan kepada inovasi pelajar. Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran, diikuti aktiviti lawatan, sesi pemindahan ilmu dan diakhiri dengan majlis penutup serta penyampaian hadiah.
Program ini diketuai oleh Puan Hafsa binti Mohammad Noor selaku Pengarah Program dengan kerjasama barisan jawatankuasa yang terdiri daripada staf dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Inisiatif ini turut disokong oleh kumpulan fokus jabatan iaitu Sustainable Product Development (S-PRouD), Product Research and Development (ProReD) dan Vehicle Control and Robotics Engineering (VeCaRE) bersama rakan industri. Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha khidmat masyarakat universiti dalam memperkukuh jaringan strategik bersama komuniti, di samping meningkatkan kesedaran serta minat pelajar terhadap bidang STEM dan TVET.
Program seumpama ini dilihat mampu menjadi platform efektif dalam merapatkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah, sekali gus menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, praktikal dan selari dengan keperluan dunia kejuruteraan masa kini.
#UTHMprihatin
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
