Berita
Bengkel Libat Urus Bersama Pemegang Taruh 2026: Memacu Relevansi Kurikulum Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTHM

PAGOH: Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu sesi bengkel libat urus bersama pemegang taruh bertempat di Bilik Mesyuarat 3, UTHM Pagoh. Program ini menghimpunkan wakil penasihat industri iaitu Ir Ts Mohd Hisam bin Sa’at, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Jurutera Mekanikal), Kementerian Kesihatan Malaysia, serta wakil alumni iaitu Dr Shaktivell a/l M. Letchumanan, Pengarah Strategics Expert Sdn Bhd, bersama pihak akademik dalam usaha memperkukuh hubungan strategik dan memastikan kurikulum sentiasa selari dengan kehendak industri semasa.
Program telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Dr Noor Azizah binti Sidek, yang menekankan kepentingan kerjasama berterusan bersama industri dalam memastikan kualiti dan kerelevanan program pengajian. Seterusnya, sesi diteruskan dengan penerangan kurikulum oleh Ketua Program, Puan Siti Mariam binti Basharie yang memberi penjelasan terperinci berkaitan struktur program, hasil pembelajaran (PLO), serta pendekatan pelaksanaan kurikulum berasaskan Outcome-Based Education (OBE).
Sesi ini turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa berkaitan termasuk Jawatankuasa Latihan Industri, Jawatankuasa Projek Akhir Pelajar, Jawatankuasa OBE serta Jawatankuasa Kualiti yang memainkan peranan penting dalam pengurusan akademik dan penambahbaikan berterusan program.
Perbincangan bersama pemegang taruh memberi fokus kepada penambahbaikan kurikulum, pemerkasaan kemahiran insaniah serta keperluan pendedahan kepada teknologi terkini bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. Selain itu, maklum balas konstruktif turut diberikan berkaitan pelaksanaan latihan industri, kesesuaian silibus dengan keperluan industri semasa serta cadangan kolaborasi strategik seperti program sangkutan industri, perkongsian kepakaran dan peluang penempatan kerjaya kepada pelajar.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Jabatan Kejuruteraan Mekanikal UTHM dalam memastikan kurikulum sentiasa relevan, dinamik dan memenuhi keperluan industri. Usaha ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang holistik, kompeten serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
