Berita
JSM Terokai Keajaiban Geometri Dalam Alam Menerusi Program KTP ‘The Architect of Creation’

PAGOH: Jabatan Sains Matematik (JSM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program, KTP) bertemakan The Architect of Creation: Keajaiban Geometri dalam Sains dan Matematik bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai aplikasi geometri dalam kehidupan, sains dan kejuruteraan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan STEM.
Program yang berlangsung di UTHM Kampus Pagoh itu melibatkan penyertaan seramai 20 orang pelajar, terdiri daripada 10 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Muar dan 10 orang pelajar Madrasah Al-Hafizah Saidatina Khadijah, Muar, bersama guru-guru pengiring daripada kedua-dua buah sekolah. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Sains Matematik, Dr Norliza binti Ghazali, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan memupuk minat pelajar terhadap bidang Matematik, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM) melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berasaskan pengalaman.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu bertajuk The Architect of Creation: Keajaiban Geometri dalam Sains dan Matematik yang telah disampaikan oleh Dr Norhaliza binti Abu Bakar. Dalam sesi tersebut, para peserta didedahkan kepada konsep geometri serta aplikasinya dalam alam semula jadi dan kehidupan seharian. Antara pengisian utama termasuk penerangan mengenai bentuk heksagon pada sarang lebah, corak spiral pada bunga matahari, konsep simetri dalam alam serta kepentingan bentuk geometri dalam pembinaan struktur kejuruteraan seperti jambatan dan bangunan.
Bagi mengukuhkan kefahaman peserta, program diteruskan dengan aktiviti STEM bertajuk The Strongest Shape Challenge yang mencabar setiap kumpulan mereka bentuk dan membina sebuah jambatan menggunakan lidi berdasarkan konsep geometri yang telah dipelajari. Melalui aktiviti ini, peserta didedahkan kepada kepentingan perancangan reka bentuk, kestabilan struktur serta aplikasi bentuk geometri dalam menghasilkan binaan yang kukuh.
Sepanjang aktiviti berlangsung, para peserta menunjukkan komitmen, kreativiti dan semangat kerjasama yang tinggi dalam menghasilkan reka bentuk jambatan yang inovatif. Jambatan yang dibina kemudiannya diuji berdasarkan jumlah beban yang mampu ditampung bagi mengenal pasti struktur yang paling kukuh. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta memahami bagaimana penggunaan bentuk geometri memainkan peranan penting dalam meningkatkan kestabilan sesuatu binaan.
Selain menyertai aktiviti hands-on, para peserta dan guru pengiring turut memberikan maklum balas terhadap program melalui borang penilaian yang disediakan. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik serta penyampaian plak penghargaan kepada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Program ini diketuai oleh Puan Norazreen binti Sharip dengan sokongan barisan jawatankuasa daripada staf Jabatan Sains Matematik, CeDS serta para pelajar diploma yang berperanan sebagai fasilitator. Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif jabatan dalam memperkukuh jaringan kerjasama bersama sekolah angkat, di samping menyokong aspirasi universiti untuk memperkasakan pendidikan STEM melalui aktiviti pemindahan ilmu kepada komuniti.
Program seumpama ini diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap Matematik, Sains dan STEM. Selaras dengan tema The Architect of Creation, program ini turut memberi kesedaran kepada peserta bahawa geometri bukan sekadar konsep matematik yang dipelajari di dalam bilik darjah, malah merupakan asas kepada keindahan alam, inovasi teknologi dan pembangunan kejuruteraan yang membentuk kehidupan.
#UTHMprihatin
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
