Skip to main content

Berita

Sinergi UTHM-COSMO Skills Diperkukuh Melalui Perbincangan Memorandum Perjanjian

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Encik Ahmad Faiz bin Mat Zian @ Zin
15 April 2026, 2:30 pm
Sinergi UTHM-COSMO Skills Diperkukuh Melalui Perbincangan Memorandum Perjanjian

SUNGAI UDANG: Sesi perbincangan Memorandum of Agreement (MOA) telah diadakan antara pihak Universiti Tun Hussein Onn Malaysia melalui Pusat Pengajian Diploma (CeDS) dan Cosmo Skills Sdn Bhd semasa majlis Jamuan Hari Raya Cosmo Skills yang berlangsung di pejabat syarikat tersebut.

Sesi perbincangan ini memberi fokus kepada potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam aspek pembangunan akademik, latihan industri, serta pemerkasaan kebolehpasaran graduan. Inisiatif MOA ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan universiti- industri, selaras dengan keperluan semasa dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal.

Sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan sumbangan pihak industri, satu majlis penyerahan Surat Penghargaan Endowment telah diadakan. Penyampaian surat penghargaan tersebut telah disempurnakan oleh Dekan CeDS, UTHM, Dr Muhammad Faizal Ismail, kepada Ts. Azhar bin Ahamat, selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cosmo Skills Sdn Bhd. Turut hadir dalam majlis ini ialah Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya selaku Penyelaras MOA CeDS UTHM, bersama ahli iaitu Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad dan Encik Ahmad Faiz bin Mat Zian @ Zin serta Tuan Haji Mohd Zaki Hassan, Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut.

Majlis ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim sempena sambutan Aidilfitri, malah mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam menjayakan agenda kolaborasi strategik yang memberi manfaat kepada pelajar, institusi, dan industri secara keseluruhannya.

Diharapkan kerjasama ini akan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi pada masa akan datang.