Berita
Suara Pemegang Taruh, Pemacu Kecemerlangan Kurikulum: UTHM Perkasa Program Diploma Sains Gunaan

PAGOH: Dalam usaha memastikan program akademik sentiasa seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan, keperluan industri dan jangkaan masyarakat, Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Bengkel bersama Pemegang Taruh Program Diploma Sains Gunaan (DAU), Pusat Pengajian Diploma, UTHM Tahun 2026 pada hari Khamis secara dalam talian.
Bengkel ini melibatkan penyertaan tiga kumpulan pemegang taruh utama, iaitu wakil industri, ibu bapa dan pelajar semasa. Antara wakil yang terlibat ialah Puan Nurul Asikin binti Mohd Araha sebagai wakil industri, Encik Othman bin Ayeb sebagai wakil ibu bapa, serta Saudari Nur Robiatul Adawiyah binti Othman, pelajar Tahun 2 Program Diploma Sains Gunaan, sebagai wakil pelajar. Bengkel ini dijalankan bersama penglibatan Ketua Jabatan Sains dan Matematik, Dr Norhaliza binti Abu Bakar, Ketua Program Diploma Sains Gunaan, Inv. Dr Siti Noraiza binti Ab Razak, dan jawatankuasa lain yang berkaitan.
Penglibatan ketiga-tiga kumpulan pemegang taruh ini bertujuan mendapatkan perspektif dan maklum balas yang menyeluruh terhadap pelaksanaan serta kerelevanan kurikulum Program Diploma Sains Gunaan. Pendekatan ini mencerminkan kepentingan penglibatan pemegang taruh dalam proses penilaian dan penambahbaikan program akademik secara sistematik dan berterusan.
Dari perspektif ibu bapa, maklum balas yang diberikan dapat membantu menilai kesesuaian program dalam memenuhi jangkaan pendidikan serta pembangunan potensi pelajar. Sementara itu, pengalaman pelajar semasa menjadi sumber penilaian penting terhadap kandungan kursus, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan sokongan akademik. Pandangan wakil industri pula berperanan dalam mengenal pasti kesepadanan kurikulum dengan keperluan sektor pekerjaan, khususnya dari aspek penguasaan ilmu sains gunaan, kemahiran teknikal, pemikiran kritis dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Sesi ini melengkapi pengumpulan pandangan alumni dan penasihat industri yang telah diadakan lebih awal pada 16 Jun 2026. Keseluruhan sesi bertujuan mendapatkan maklum balas menyeluruh bagi menilai dan memperkukuh kurikulum program agar terus relevan dengan keperluan industri dan perkembangan semasa. Dapatan daripada sesi libat urus ini akan menjadi input penting dalam mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan kurikulum, di samping memastikan hasil pembelajaran program kekal relevan dengan perkembangan semasa. Maklum balas tersebut turut menyokong pelaksanaan penambahbaikan kualiti berterusan (continuous quality improvement, CQI) bagi meningkatkan mutu penyampaian program akademik.
Penganjuran bengkel ini memperlihatkan komitmen CeDS UTHM dalam memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, masyarakat dan industri. Melalui perkongsian pandangan serta maklum balas yang konstruktif, Program Diploma Sains Gunaan diharapkan dapat terus diperkasakan sebagai program akademik yang berkualiti, dinamik dan berdaya saing, sekali gus melahirkan graduan yang kompeten serta memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.
Popular
-
DiPX 2026 Berjaya Himpunkan Lebih 1 600 Pengunjung di Hab Pendidikan… -
InoCeDS UTHM Raih Anugerah Inovasi Harapan di Konvensyen Kumpulan Ino… -
Taklimat Perlaksanaan Diploma Project Exhibition (DiPX) CeDS 2026 -
CeDS UTHM Dekati Pelajar SMK Sultan Abdul Jalil Melalui Program Promo… -
Plot Like a Pro: Menguasai Graf Saintifik Profesional dengan Origin -
Seminar ‘PO Check’ UTHM: Persiap Graduan Kimia Laku Keras di Pasaran… -
MIRAI SAKURA 26’: Program Mobiliti Antarabangsa Perkukuh Jaringan Aka… -
Kolaborasi UTHM dan SK (Felda) Kahang Timur Perkasakan Pendidikan STE… -
Dari Pemantauan ke Pengembangan: Hydrocare Inclusive 2026 Diperkasa -
Bengkel bersama Panel Penasihat Industri dan Pemegang Taruh Alumni: P…
