Skip to main content

Berita

Kolaborasi UTHM dan SK (Felda) Kahang Timur Perkasakan Pendidikan STEM Melalui Pertandingan MAKEROBOT Negeri Johor 2026

Oleh Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon, Puan Nadira binti Halim Johari Shah, Puan Ziana binti Che Ros, Ts Muhammad Shukri bin Ahmad, Puan Norhafiza binti Samion, Ts Tengku Nadzlin bin Tengku Ibrahim, Encik Mohd Faizal bin Mohamed Nor, Dr Zainab binti Zainal, Ts Ahmad Alabqari Ma’ Radzi, Ts Mohd Muzaffar bin Zahar, Puan Nurulhuda binti Ismail
25 Julai 2026, 6:39 pm
Kolaborasi UTHM dan SK (Felda) Kahang Timur Perkasakan Pendidikan STEM Melalui Pertandingan MAKEROBOT Negeri Johor 2026

KLUANG: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) serta SK (Felda) Kahang Timur telah berjaya menganjurkan Pertandingan MAKEROBOT Peringkat Negeri Johor 2026 sebagai satu inisiatif memperkukuh pendidikan STEM. Program berimpak tinggi ini telah berlangsung dengan lancar pada 25 Julai 2026, merupakan hasil kolaborasi strategik antara UTHM dan SK (Felda) Kahang Timur dalam usaha memperkasakan pembelajaran robotik dan inovasi dalam kalangan murid sekolah rendah dan prasekolah.

Selain daripada menjadi medan ujian dan platform pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik), program ini juga merupakan sebuah inisiatif khidmat masyarakat yang memfokuskan kepada pemindahan ilmu melalui pelaksanaan sesi bimbingan dan perkongsian ilmu berkaitan kaedah penjurian pertandingan kepada guru-guru SK (Felda) Kahang Timur. Panel penilai daripada UTHM telah berkongsi pengalaman, kriteria penilaian serta amalan terbaik dalam melaksanakan proses penghakiman secara profesional dan telus. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kompetensi guru supaya mereka mampu mengendalikan dan menilai pertandingan robotik serta inovasi di peringkat sekolah secara lebih sistematik pada masa hadapan.

Melalui pendekatan "learning by doing", guru-guru berpeluang memahami aspek teknikal penilaian seperti ketepatan pembinaan model, kefungsian, kreativiti, kekemasan serta pematuhan kepada peraturan pertandingan. Pendedahan ini diharap dapat membantu pihak sekolah melahirkan lebih ramai guru yang berkemahiran dalam pengurusan pertandingan STEM, sekali gus memperluaskan budaya inovasi dalam kalangan murid.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen CeDS UTHM dalam menyokong agenda pemerkasaan STEM negara melalui jaringan kerjasama bersama institusi pendidikan. Di samping menyediakan platform pertandingan yang berkualiti, program ini turut memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah melalui perkongsian kepakaran serta pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada warga pendidik dan generasi muda.

Penganjuran program ini diharapkan bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan antara warga UTHM dengan sekolah, tetapi turut melonjakkan imej universiti dalam usaha melebarkan jejak pendedahan STEM dan TVET kepada masyarakat luar.