Skip to main content

Berita

CeDS Promosi Program Diploma di Pameran Informasi Pendidikan dan Kerjaya SMK (P) Sri Mutiara

Oleh Fawwaz bin Mohd Nasir, Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon
24 Jun 2026, 5:30 pm
CeDS Promosi Program Diploma di Pameran Informasi Pendidikan dan Kerjaya SMK (P) Sri Mutiara

JELUTONG: Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Pameran Informasi Pendidikan dan Kerjaya Peringkat Sekolah yang berlangsung di SMK (P) Sri Mutiara, Pulau Pinang pada 24 Jun 2026. Penyertaan ini merupakan salah satu usaha berterusan universiti dalam memperluaskan promosi program-program diploma UTHM kepada pelajar sekolah yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Program yang turut melibatkan penyertaan pelajar daripada SMKA Al-Mashoor itu menghimpunkan hampir 20 pempamer yang terdiri daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Pameran ini menjadi platform terbaik untuk para pelajar mendapatkan maklumat secara terus mengenai laluan pendidikan, syarat kemasukan, peluang biasiswa serta prospek kerjaya yang ditawarkan oleh institusi masing-masing.

Sepanjang pameran berlangsung, reruai Pusat Pengajian Diploma UTHM menerima sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar dan guru. Pelbagai maklumat berkaitan program diploma UTHM dikongsikan, termasuk bidang pengajian yang ditawarkan, kelebihan pembelajaran berasaskan amali, kemudahan kampus serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas tamat pengajian diploma.

Selain memberikan penerangan mengenai program akademik, wakil Pusat Pengajian Diploma UTHM turut berinteraksi secara langsung dengan para pelajar bagi membantu mereka mengenal pasti program yang bersesuaian dengan minat, kebolehan dan perancangan kerjaya masing-masing. Sesi ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan pelbagai pertanyaan berkaitan kehidupan kampus dan pengalaman sebagai mahasiswa UTHM.

Penyertaan dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Diploma UTHM dalam memperkukuh hubungan dengan institusi pendidikan sekolah serta meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peluang melanjutkan pengajian di UTHM. Melalui pendekatan turun padang dan perkongsian maklumat secara bersemuka, UTHM berharap lebih ramai pelajar berpotensi dapat menjadikan universiti ini sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian dan membina kerjaya pada masa hadapan.