Skip to main content

Berita

InoCeDS UTHM Raih Anugerah Inovasi Harapan di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Universiti Awam (KIK-UA) Kali Ke-18 2026

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
06 Ogos 2026, 9:30 pm
InoCeDS UTHM Raih Anugerah Inovasi Harapan di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Universiti Awam (KIK-UA) Kali Ke-18 2026

SUNGAI BESI: Pasukan InoCeDS daripada Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih Anugerah Inovasi Harapan bagi Kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Universiti Awam (KIK-UA) Kali ke-18 2026 yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 4 hingga 6 Ogos 2026.

Konvensyen berprestij tersebut telah menghimpunkan 53 pasukan KIK daripada 19 buah universiti awam di seluruh Malaysia, sekali gus menjadi platform untuk mengetengahkan amalan terbaik, budaya inovasi serta perkongsian idea dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan di institusi pengajian tinggi.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan InoCeDS telah mempertandingkan projek inovasi WE-SET (Web-Based Self Evaluation Tool), iaitu sistem penilaian kendiri berasaskan web yang dibangunkan bagi membantu lepasan SPM menyemak kelayakan kemasukan ke program diploma UTHM dengan lebih pantas, tepat dan mesra pengguna. Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat kepada bakal pelajar, malah menyokong agenda pendigitalan dan transformasi penyampaian perkhidmatan universiti.

Pasukan InoCeDS diketuai oleh Ts Dr Mohd Shahir bin Yahya daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan dianggotai oleh Ts Inv Mahmod Abd Hakim bin Mohamad (Jabatan Kejuruteraan Mekanikal), Dr Norhayati binti Ngadiman (Jabatan Kejuruteraan Awam), Encik Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi (Jabatan Teknologi Maklumat) serta Puan Nor Suraya binti Abdul Samad (Pejabat Pentadbiran). Sepanjang penyediaan projek dan pertandingan, pasukan ini turut mendapat bimbingan serta sokongan daripada penyelaras, Ts Ng Wee Fern dari Pejabat Pengurusan Kualiti UTHM.

Penganugerahan Anugerah Inovasi Harapan merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha, kreativiti dan komitmen pasukan InoCeDS dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi. Kejayaan ini turut membuktikan kemampuan warga UTHM untuk bersaing dan menyerlah di pentas kebangsaan bersama pasukan-pasukan terbaik daripada universiti awam seluruh negara.

Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membudayakan inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan demi kecemerlangan UTHM.