Skip to main content

Berita

CeDS UTHM Dekati Pelajar SMK Sultan Abdul Jalil Melalui Program Promosi Diploma

Oleh Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa
24 Jun 2026, 4:35 pm
CeDS UTHM Dekati Pelajar SMK Sultan Abdul Jalil Melalui Program Promosi Diploma

KLUANG: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Promosi Program Diploma di SMK Sultan Abdul Jalil bagi memperkenalkan program-program pengajian yang ditawarkan kepada para pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Program ini melibatkan pembukaan reruai pameran serta sesi taklimat yang memberikan penerangan mengenai program diploma, syarat kemasukan, kemudahan pembelajaran, pengalaman kehidupan kampus serta laluan kerjaya yang boleh diceburi oleh graduan UTHM.

Bagi memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada para pelajar, CeDS turut mempamerkan beberapa hasil projek inovasi yang dibangunkan oleh pelajar diploma. Antara produk yang dipamerkan ialah aplikasi berasaskan Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) yang membolehkan pelajar merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara interaktif serta melihat potensi penggunaan teknologi digital dalam pelbagai bidang.

Sambutan yang diterima daripada para pelajar dan guru amat memberangsangkan. Para pelajar menunjukkan minat yang tinggi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program-program diploma yang ditawarkan serta berpeluang mencuba sendiri aplikasi inovatif yang dipamerkan.

Program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah mengenai peluang melanjutkan pengajian di UTHM, di samping memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka bidang teknologi, inovasi dan pendidikan TVET sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan.