Skip to main content

Berita

Bengkel bersama Panel Penasihat Industri dan Pemegang Taruh Alumni: Perkukuh Kualiti Program Diploma Sains Gunaan

Oleh Dr Nurhana binti Mohamad, Inv. Dr Siti Noraiza binti Ab Razak
16 Jun 2026, 5:54 pm
Bengkel bersama Panel Penasihat Industri dan Pemegang Taruh Alumni: Perkukuh Kualiti Program Diploma Sains Gunaan

PAGOH: Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menganjurkan Bengkel bersama Panel Penasihat Industri dan Pemegang Taruh Alumni bagi program Diploma Sains Gunaan (DAU) yang melibatkan penyertaan Panel Penasihat Industri DAU, Dr Mohd Amirul Rafiq bin Abu Rahim dan Alumni DAU, Encik Muhammad Alif bin Abdul Talib. Bengkel ini diadakan sebagai platform untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh kualiti dan kerelevanan program akademik yang ditawarkan.

Program ini menghimpunkan penasihat industri dan alumni yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang sains gunaan. Panel Penasihat Industri bagi program Diploma Sains Gunaan, Dr Mohd Amirul Rafiq bin Abu Rahim adalah Associate Director di PNB Research Institute Sdn Bhd., manakala Alumni program Diploma Sains Gunaan, En Muhammad Alif Abdul Talib berkhidmat di Makmal Khidmat Analisis Pusat Inovasi dan Teknologi Koko. Perbincangan yang dijalankan memberi tumpuan kepada semakan kurikulum, keperluan kemahiran semasa industri, kebolehpasaran graduan serta cadangan penambahbaikan terhadap kandungan kursus agar selari dengan perkembangan teknologi dan kehendak pasaran kerja. Turut menghadiri bengkel ini adalah Ketua Jabatan Sains dan Matematik, Dr Norliza binti Ghazali, Ketua Program DAU, Inv. Dr Siti Noraiza binti Ab Razak serta ahli-ahli jawatankuasa di bawah portfolio akademik.

Melalui sesi perkongsian dan perbincangan dua hala, para peserta turut membincangkan aspek pembangunan kemahiran insaniah, pendedahan industri, latihan amali serta peluang kerjasama strategik yang dapat memberi nilai tambah kepada pelajar. Maklum balas yang diterima akan dijadikan panduan dalam proses penambahbaikan berterusan program bagi memastikan graduan yang dilahirkan lebih kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Pihak jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Panel Penasihat Industri DAU dan Alumni DAU yang telah meluangkan masa untuk menyertai bengkel ini. Komitmen dan sokongan yang diberikan mencerminkan usaha bersama dalam memastikan program Diploma Sains Gunaan terus relevan, berkualiti dan mampu melahirkan graduan yang memenuhi aspirasi institusi serta kehendak industri semasa.
Bengkel ini diharapkan dapat mengukuhkan hubungan antara institusi, industri dan alumni, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan yang lebih dinamik dan berimpak tinggi pada masa hadapan.