Skip to main content

Berita

Dari Pemantauan ke Pengembangan: Hydrocare Inclusive 2026 Diperkasa

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
31 Julai 2026, 4:40 pm
Dari Pemantauan ke Pengembangan: Hydrocare Inclusive 2026 Diperkasa

BUKIT PASIR: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui kumpulan fokus Sustainable Product Development (S-ProuD) telah melaksanakan sesi pemantauan kali pertama Program Pemindahan Ilmu (KTP) HydroCare Inclusive 2026: Sistem Hidroponik Berkuasa Solar untuk Pembelajaran Inklusif Pelajar PPKI di SMK Bukit Pasir.

Sesi pemantauan ini diketuai oleh delegasi UTHM yang terdiri daripada Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya dan Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad dari CeDS.

Dalam sesi tersebut, pihak UTHM turut mengadakan perbincangan bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SMK Bukit Pasir serta wakil guru PPKI, Cikgu Haji Fadzil bin Haji Mohd Amin, bagi menilai perkembangan semasa projek, keberkesanan pelaksanaan sistem hidroponik serta penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran berasaskan teknologi hijau.

Perbincangan turut memberi fokus kepada penyediaan kertas kerja pengembangan projek kepada skala yang lebih besar, melibatkan penambahan unit hidroponik, peningkatan kapasiti tanaman, keperluan sumber, anggaran kos serta strategi kelestarian projek pada masa hadapan.

Melalui kerjasama strategik antara UTHM dan SMK Bukit Pasir, projek HydroCare Inclusive 2026 diharapkan dapat terus berkembang sebagai platform pembelajaran inklusif yang memberi pendedahan kepada murid PPKI dalam bidang teknologi hijau, kemahiran praktikal dan potensi keusahawanan.