Berita
DiPX 2026 Berjaya Himpunkan Lebih 1 600 Pengunjung di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan Diploma Project Exhibition (DiPX) 2026 pada 15 hingga 16 Jun 2026 di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, dengan penyertaan yang memberangsangkan daripada pelajar, warga universiti, industri serta komuniti setempat.
Program tahunan ini menjadi platform utama bagi pelajar diploma tahun akhir untuk mempamerkan projek inovatif yang mencerminkan kemahiran teknikal, kreativiti serta tahap kesediaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan. Kesemua projek yang dipertandingkan telah dinilai oleh profesional industri dan pakar akademik bagi memastikan hasil kerja pelajar memenuhi kehendak serta jangkaan dunia pekerjaan sebenar.
DiPX 2026 telah menghimpunkan seramai 656 pelajar diploma tahun akhir yang mewakili tujuh program diploma UTHM, dengan sebanyak 293 projek diploma dipamerkan sepanjang dua hari penganjuran. Pameran ini turut menjadi medium penting dalam memperkukuh agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus meningkatkan keyakinan pelajar dan kebolehpasaran graduan.
Selain pameran projek diploma, DiPX 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik dan bermanfaat kepada pelbagai lapisan peserta. Antaranya ialah tiga Program Pemindahan Ilmu, Aktiviti Hari Terbuka CeDS, Bengkel Penasihat Industri dan Alumni, serta Taklimat Institution of Engineers Malaysia (IEM).
Aktiviti Hari Terbuka CeDS yang berlangsung sepanjang program telah berjaya menarik penyertaan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat. Antara pengisian utama yang dianjurkan ialah Student Entrepreneurship Booth yang memberi peluang kepada pelajar mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, pertandingan Mobile Legends E-Game bagi kategori pelajar CeDS dan murid sekolah, sesi perkongsian oleh pempengaruh (Influencers’ Talk), serta Pameran Robotik oleh MakerSpace yang mempamerkan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang robotik. Majlis turut menyaksikan pengumuman pemenang pertandingan e-sukan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Satu lagi pencapaian penting semasa program ini ialah pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara CeDS dengan Persatuan Penggerak Digital Daerah Muar. Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang pembangunan digital, latihan kemahiran dan program komuniti pada masa hadapan.
Sepanjang berlangsungnya program, DiPX 2026 telah menerima kehadiran seramai 1 620 pengunjung. Daripada jumlah tersebut, 1 388 orang merupakan pelajar UTHM, diikuti 190 orang staf UTHM, 11 murid sekolah, 9 wakil industri, 9 pelajar Kolej Vokasional Batu Pahat, 8 pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, 3 wakil alumni UTHM, dan 2 pengunjung kategori lain-lain. Kehadiran yang memberangsangkan ini mencerminkan minat yang tinggi terhadap inovasi, pendidikan teknikal dan pembangunan bakat muda.
Penyertaan daripada sektor industri turut menyerlah apabila beberapa organisasi terkemuka hadir sebagai penilai, pemerhati dan rakan strategik program. Antara organisasi yang terlibat ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Lembaga Koko Malaysia (LKM), PNB Research Institute Sdn Bhd serta beberapa agensi dan syarikat lain. Penglibatan industri ini memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan sektor pekerjaan, selain memastikan projek yang dihasilkan pelajar sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri.
Majlis Penutup DiPX 2026 yang berlangsung pada 16 Jun 2026 telah disempurnakan oleh Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan CeDS. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini serta menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan pencapaian para pelajar dalam menghasilkan projek yang berkualiti, inovatif dan berimpak tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa DiPX bukan sekadar platform untuk mempamerkan hasil projek pelajar, malah berfungsi sebagai medan pembelajaran yang menghubungkan akademia, industri dan komuniti. Menurut beliau, pendedahan kepada situasi sebenar industri melalui penilaian profesional, kolaborasi strategik dan penglibatan pihak berkepentingan dapat membantu melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Kejayaan penganjuran DiPX 2026 membuktikan komitmen berterusan CeDS dan UTHM dalam melahirkan graduan diploma yang kompeten, berdaya saing serta bersedia untuk memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara pada masa hadapan. Melalui gabungan pameran akademik, penglibatan industri, aktiviti pembangunan profesional, keusahawanan, teknologi digital dan program komuniti, DiPX terus menjadi platform penting dalam memperkasakan pendidikan TVET dan STEM di Malaysia.
Sila layari portal rasmi DiPX, dipx.uthm.edu.my untuk maklumat lanjut.
#UTHMprihatin
Diploma Project Exhibition (DiPX) 2026
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
