Skip to main content

Berita

PAK: CeDS Health and Safety Day 2026 Perkasa Kesejahteraan, Keselamatan dan Literasi Kewangan Mahasiswa UTHM

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Sr Dr Nornajihah binti Mohammad Yazid, Puan Ziana binti Che Ros, Puan Norazreen binti Sharip, Encik Hannes bin Masandig
17 November 2026, 5:25 pm
PAK: CeDS Health and Safety Day 2026 Perkasa Kesejahteraan, Keselamatan dan Literasi Kewangan Mahasiswa UTHM

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Jawatankuasa Kemajuan Akademik (PAK) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Diploma UTHM telah menganjurkan program PAK: CeDS Health and Safety Day 2026 bertemakan Stay Healthy, Stay Safe, Stay Successful bertempat di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma UTHM. Turut hadir memeriahkan program ialah Yang Berbahagia Dr Muhammad Azri bin Othman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pusat Pengajian Diploma UTHM, yang juga merupakan Penasihat Program PAK: CeDS Health and Safety Day 2026. Program yang menyasarkan pelajar Tahun 2 Diploma UTHM bersama Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK) ini bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental, keselamatan diri serta pengurusan kewangan yang bijak sebagai persediaan menghadapi cabaran kehidupan dan alam pekerjaan.

Menurut Pengarah Program, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, program ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan mahasiswa secara holistik yang memberikan penekanan terhadap keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kesejahteraan diri dan pembentukan sahsiah.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu menampilkan aktiviti senamrobik bertemakan Stay Healthy, Stay Active bagi menggalakkan mahasiswa mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Pengisian diteruskan dengan taklimat kesihatan bertajuk Healthy Mind, Healthy Body yang disampaikan oleh Dr Fatin Hazdzirah binti Ismail, Pegawai Perubatan dari Pusat Kesihatan Universiti, Kampus Pagoh. Sesi tersebut memberikan tumpuan kepada kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian. Aspek keselamatan pula diberikan perhatian menerusi taklimat Stay Safe oleh SI/PB Tuan Mohamad Firdaus bin Nasir, Ketua Bahagian Polis Bantuan dan Keselamatan, Pejabat Pentadbiran UTHM Pagoh. Pengisian ini bertujuan meningkatkan kepekaan mahasiswa terhadap keselamatan diri, pematuhan peraturan serta langkah pencegahan risiko dalam persekitaran kampus.

Sementara itu, aspek literasi kewangan turut diketengahkan menerusi taklimat Stay Successful yang disampaikan oleh Encik Awaludin bin Othman, Pegawai Perhubungan dan Penasihatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Muar.

Taklimat berkenaan memberikan pendedahan mengenai kepentingan pengurusan kewangan secara berhemah, budaya menabung, perancangan kewangan jangka panjang serta persediaan mahasiswa menghadapi alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Selain meningkatkan pengetahuan dan kesedaran, program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK), sekali gus memperkukuh komunikasi, sokongan akademik serta pembangunan sahsiah pelajar.

Majlis perasmian dan penutupan program yang berlangsung pada jam 11:40 pagi telah disempurnakan oleh Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma UTHM, dengan kehadiran Dr Muhammad Azri bin Othman selaku Penasihat Program. Majlis turut merangkumi penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada pihak yang terlibat serta sesi fotografi sebagai tanda kenangan dan penghargaan atas kejayaan penganjuran program. Secara keseluruhannya, penganjuran PAK: CeDS Health and Safety Day 2026 diharapkan dapat membudayakan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran keselamatan dan membentuk mahasiswa yang lebih berdisiplin serta bijak mengurus kewangan.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Pusat Pengajian Diploma UTHM dalam memperkasakan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.