Berita
Sesi Perkongsian Program Diploma UTHM Beri Pendedahan Laluan Pendidikan Tinggi Kepada Pelajar SMK Bandar Putra

PAGOH: Program STEM dan Robotik: Mencetus Kreativiti dan Inovasi Dalam Kalangan Pelajar Sekolah telah berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Pagoh, dengan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Segamat.
Program yang bertujuan menyemai minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini merangkumi beberapa sesi pengisian menarik, antaranya aktiviti pengaturcaraan menggunakan Micro:bit serta sesi pemantapan Matematik. Pelaksanaan aktiviti tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka konsep STEM secara lebih interaktif di samping mengasah kreativiti, kemahiran berfikir secara kritis dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Salah satu pengisian utama program ialah Sesi Perkongsian Program Diploma UTHM yang disampaikan oleh Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon bermula pada jam 3:30 petang. Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam bidang pendidikan tinggi dan laluan pendidikan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam sesi perkongsian tersebut, para pelajar diberikan penerangan mengenai pelbagai laluan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas SPM, termasuk perbezaan antara program asasi, matrikulasi dan diploma. Perkongsian turut merangkumi pengenalan kepada bidang-bidang pekerjaan masa hadapan serta kepentingan TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang memenuhi keperluan industri.
Selain itu, para pelajar turut diperkenalkan dengan UTHM, termasuk latar belakang universiti, kemudahan yang disediakan serta program-program diploma yang ditawarkan. Penerangan turut memfokuskan syarat kemasukan bagi program-program berkenaan dan kelebihan memilih program diploma UTHM sebagai salah satu laluan pendidikan untuk membina asas pengetahuan dan kemahiran sebelum melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Program diakhiri dengan sesi lawatan kampus bagi memberikan pengalaman secara langsung kepada para pelajar untuk mengenali persekitaran dan kemudahan yang terdapat di UTHM Kampus Pagoh. Lawatan merangkumi kawasan sekitar Blok A1, Arked Mawar serta kemudahan guna sama universiti seperti Dewan Serbaguna, Pusat Sukan dan Pusat Konvensyen.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan minat dan kesedaran pelajar terhadap bidang STEM serta membuka perspektif mereka mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang teknikal dan profesional. Pada masa yang sama, program ini menjadi platform untuk memperkenalkan UTHM sebagai institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pelbagai laluan pengajian dan peluang pembangunan potensi pelajar.
Popular
-
DiPX 2026 Berjaya Himpunkan Lebih 1 600 Pengunjung di Hab Pendidikan… -
InoCeDS UTHM Raih Anugerah Inovasi Harapan di Konvensyen Kumpulan Ino… -
Taklimat Perlaksanaan Diploma Project Exhibition (DiPX) CeDS 2026 -
CeDS UTHM Dekati Pelajar SMK Sultan Abdul Jalil Melalui Program Promo… -
Plot Like a Pro: Menguasai Graf Saintifik Profesional dengan Origin -
Seminar ‘PO Check’ UTHM: Persiap Graduan Kimia Laku Keras di Pasaran… -
MIRAI SAKURA 26’: Program Mobiliti Antarabangsa Perkukuh Jaringan Aka… -
Kolaborasi UTHM dan SK (Felda) Kahang Timur Perkasakan Pendidikan STE… -
Dari Pemantauan ke Pengembangan: Hydrocare Inclusive 2026 Diperkasa -
Bengkel bersama Panel Penasihat Industri dan Pemegang Taruh Alumni: P…
