Portal Rasmi Pusat Pengajian Diploma

Pengenalan

  • Utama
  • Korporat
  • Pengenalan

Penubuhan

Pusat Pengajian Diploma atau Centre for Diploma Studies telah secara rasminya ditubuhkan pada tanggal 4 November 2009, setelah mendapat kelulusan dari Senat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Penubuhannya juga telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Universiti yang bersidang pada 12 November 2009. CeDS diterajui oleh Dekan dan dibantu oleh tiga Timbalan Dekan serta lima orang Ketua Jabatan. Pewujudan CeDS sebagai salah sebuah pusat tanggungjawab di UTHM akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan dan pemantapan penawaran, dan pengendalian semua program-program diploma di UTHM. Penubuhan CeDS juga akan memberi satu pengiktirafan kepada program-program diploma sebagai program berdaya saing dan bukan dianggap sebagai program-program kelas kedua. Rasionalnya, penubuhan CeDS akan berupaya melonjakkan program-program diploma UTHM, di samping menyediakan peluang yang lebih terbuka bagi para pelajar menyambung pengajian mereka ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seterusnya memenuhi aspirasi negara dalam meningkatkan jumlah modal insan kelas pertama.

Akronim

CeDS disebut dengan sebutan dalam Bahasa Inggeris iaitu seeds yang membawa maksud biji benih. Para pelajar diploma UTHM merupakan biji benih yang perlu disemai dan dijaga dengan rapi supaya dapat menghasilkan produk yang berkualiti. CeDS merupakan tapak semaian untuk pelajar diploma di UTHM yang akan melahirkan para graduan unggul, berdaya saing serta beretika, dan mereka yang bakal menerajui kepimpinan Malaysia dan dunia pada masa hadapan. Warga CeDS mengharapkan agar pimpinan global yang terbaik terhasil daripada CeDS UTHM pada masa akan datang, kerana tiada yang mustahil di CeDS. Segalanya bermula di CeDS.

CeDS adalah akronim baharu bagi menggantikan akronim lama iaitu PPD. Akronim baharu diperkenalkan untuk mengelakkan kekeliruan pihak luar kerana akronim PPD lebih sinonim dengan Pejabat Pendidikan Daerah atau Politeknik Port Dickson. Ahli Jawatankuasa Pengurusan CeDS telah bersetuju untuk menggunakan akronim CeDS dalam Mesyuarat Pengurusan yang telah diadakan pada bulan Disember 2015. Penghargaan diberikan kepada Ts Dr Hasyamudin bin Othman yang telah memberikan cadangan serta rasional pemilihan akronim CeDS.


Hak Cipta © 2021 Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Paparan terbaik menggunakan pelayar web terkini dengan resolusi minimum 1280 x 720.

Dikemas kini pada 13 October 2021, 11:59 pm.