Portal Rasmi Pusat Pengajian Diploma

Berita

Alumni CeDS Diiktiraf di Majlis Anugerah Tokoh Siswa KPT 2020

Oleh CeDS
09 November 2021, 9:20 pm
Alumni CeDS Diiktiraf di Majlis Anugerah Tokoh Siswa KPT 2020

PAGOH: Saudari Nurul Atiqah binti Rohaizar, alumni Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah dinobatkan Anugerah Khas Kepimpinan Ibn Ummu Maktum di Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2020.

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM2 000, trofi, sijil dan hadiah iringan serta tawaran Biasiswa Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi.

Anugerah khas tersebut dinobatkan kepada mahasiswa kelainan upaya yang berjaya menunjukkan pencapaian terbaik dalam penganjuran program-program berimpak tinggi.

Beliau sebelum ini telah dinobatkan sebagai Tokoh Siswa UTHM 2018/2019 di Majlis Anugerah Inspirasi Mahasiswa.

Anak kelahiran Miri, Sarawak ini sangat aktif dalam program-program kesukarelawan, selain turut mengemudi sebahagian besar program-program tersebut.

Ini termasuklah mengemudi Program Siswa Curah Bakti 2.0 (ASEAN) selaku Pengarah Program.

Di sebalik kejayaan tersebut, beliau merupakan orang kelainan upaya (OKU) kerana mengalami masalah pendengaran sejak berumur tujuh tahun.

Namun, beliau tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuk menceburkan diri dalam program-program kesukarelawan, tanpa mengabaikan tanggungjawab utamanya sebagai mahasiswa.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UTHM.

Majlis Anugerah Tokoh Siswa merupakan majlis anugerah yang berprestij yang mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam ketokohan berorganisasi serta penganjuran program-program yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, majlis ini merupakan platform terbaik untuk mengiktiraf dan memberi galakan kepada kepimpinan mahasiswa yang telah menunjukkan kecemerlangan kepimpinan yang holistik dan kompeten selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Majlis yang diadakan secara maya itu, telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.


Hak Cipta © 2021 Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Paparan terbaik menggunakan pelayar web terkini dengan resolusi minimum 1280 x 720.

Dikemas kini pada 03 December 2021, 6:20 pm.