Skip to main content

Berita

Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21

Oleh Nur Arfah Haziqah binti Hazmin Elmee, Encik Muhamad Hanafi bin Asril Rajo Mantari
09 Ogos 2021, 10:26 am
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21

PAGOH: Pada 26 Julai 2021 yang lalu, telah berlangsung satu program Karnival Inovasi Kejuruteraan Mekanikal 2021 (i-MECa21) anjuran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program ini julung kalinya dijalankan secara dalam talian iaitu Google Meet dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube.

Program ini menampilkan 10 idea dan prototaip mesin hasil kajian dan rekaan pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari JKM, CeDS, UTHM.

Pada awalnya, seramai 50 peserta telah disaring dan hanya 10 yang terbaik dipilih untuk menyertai karnival ini.

Juri program ini terdiri daripada dua orang panel dalaman iaitu pensyarah kanan JKM Encik Rosdi bin Ab Rahman dan Tuan Hj Amin Shah bin Omar.

Sementara itu, dua orang panel industri iaitu Ir Mohd Yuza bin Hj Mohd Yusof daripada syarikat DRB HICOM dan Encik Maizul Zaihan bin Solehan daripada syarikat Anshin Precision Industries Sdn Bhd turut terlibat sebagai juri.

Program ini ditutup oleh Dekan CeDS iaitu Prof. Madya Dr Mohamad Zaky bin Noh pada pukul 1 petang.

Pemenang Pingat Emas untuk karnival ini ialah Mesin Pengupas Kulit Kacang Tanah.

Projek yang diselia oleh Encik Muhammad Qusyairi bin Abdul Rahman ini berjaya menambat hati juri dalaman dan juri industri.

Tahniah kepada para pemenang.