Berita
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
Sebanyak 72.1% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Itulah petikan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada Julai 2022. Dapatan kajian membimbangkan ini seyogia membuatkan mana-mana rakyat Malaysia yang waras, berasa gusar akan masa hadapan Malaysia, lebih-lebih lagi dalam era pengganggu (disruptive era) di mana tenaga kerja berkemahiran tinggi terutamanya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) amat-amat diperlukan.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada dapatan membimbangkan tersebut. Rata-rata anak-anak muda di sekolah, lebih gemar menjadi pempengaruh atau bekerja secara sepenuh masa dalam ekonomi gig kerana mereka berpandangan, pendapatan yang bakal diperoleh dari pekerjaan tersebut, tidak banyak bezanya dengan pendapatan graduan institusi pendidikan tinggi (IPT). Ia ditambah lagi dengan pinjaman yang perlu dibuat pelajar IPT bagi melunaskan yuran dan menyara hidup sepanjang pengajian, dimana kosnya boleh mencecah sehingga puluhan ribu Ringgit. Justeru, mereka berpandangan lebih baik terus bekerja usai SPM, daripada membuat hutang.
Walau bagaimanapun, pandangan ini sebenarnya kurang tepat. Ya, jika dibandingkan pendapatan pempengaruh dan pekerja gig dengan pendapatan permulaan graduan IPT adalah lebih kurang sama. Tetapi, jika dilihat dalam jangka masa panjang, pendapatan graduan IPT dijangka akan meningkat lebih tinggi dari pendapatan pekerja gig yang bersifat mendatar.
Pekerja gig umpamanya, perlu bekerja lebih masa dalam persekitaran yang tidak kondusif untuk mendapatkan jumlah pendapatan yang sama dengan lepasan IPT. Pihak penulis bukanlah hendak merendah-rendahkan pekerja gig. Tetapi kami berpandangan, pekerjaan dalam ekonomi gig lebih sesuai dibuat secara sambilan daripada secara sepenuh masa.
Menjadi pempengaruh juga bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak liku-liku yang tidak boleh tidak didepani, dalam membentuk satu kumpulan pengikut yang setia, selain untuk kekal relevan dalam jangka masa yang lama. Lebih mustahak lagi, banyak ilmu dan kemahiran yang perlu dipelajari untuk dijadikan tiket sebelum menjadi pempengaruh yang berjaya.
Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian bin Abdullah, banyak mempelajari kemahiran suntingan video sejak berusia 14 tahun. Kemahiran ini tidaklah diperoleh secara sekelip mata. Ia adalah usaha berterusan dengan mengasah kemahiran tersebut. Usaha selama hampir 10 tahun itu, akhirnya membuahkan hasil dengan terciptanya video-video hebat, sehingga mendapat perhatian Zach King dan Will Smith. Percaya atau tidak, dalam masa yang sama, beliau merupakan graduan IPT dalam bidang perakaunan.
Selain itu, seorang lagi pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin bin Kamarulzaman, merupakan graduan sebuah IPT dari Amerika Syarikat, dalam bidang kejuruteraan. Memetik pesanan beliau yang merupakan pemenang piala Creator of the Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023, “kepada anak-anak muda di luar sana yang hendak menjadi content creator, teruskan pembelajaran... untuk relevan lama dalam industri ini awak perlukan pengetahuan, critical thinking, problem solving, ada adab, ada common sense... Jadi, habiskan pembelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus, yang boleh majukan negara kita Malaysia”.
Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menawarkan tujuh program diploma dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi bertunjangkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET). Program-program ini diiktiraf oleh Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan Malaysian Qualifications Agency (MQA), sekali gus menjadi paksi kepada lahirnya graduan glokal.
Terdapat tiga kelebihan utama program diploma UTHM jika dibandingkan dengan institusi pendidikan lain:
- Laluan Terus ke Sarjana Muda: Lepasan diploma UTHM diperuntukkan laluan terus ke program sarjana muda UTHM dengan pengecualian kredit yang tinggi.
- Lebih 10 Bantuan Kebajikan: Terdapat lebih 10 bantuan kebajikan yang disediakan untuk pelajar yang kurang berkemampuan.
- Kebolehpasaran Graduan Yang Tinggi: Rekod kebolehpasaran graduan diploma UTHM adalah setinggi 97.5 peratus.
Tambahan lagi, populariti program UTHM tidak boleh disangkal lagi. Ini berpaksikan sumber Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sendiri, dimana berdasarkan pilihan pertama calon di sistem permohonan UPU, UTHM kekal unggul di tangga pertama dalam kalangan Malaysian Technical University Network (MTUN) sejak tiga tahun belakangan ini (2021 sehingga 2023).
Bagi memastikan mutu lepasan diploma UTHM tinggi dan mampan, program-program diploma di sini ditempatkan di bawah satu pusat iaitu CeDS. Secara dasarnya, terdapat lima tujuan utama penubuhan CeDS iaitu:
- Menyediakan Pilihan Pendidikan yang Lebih Fokus: Program-program diploma pilihan utama ini direka khas untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tertentu. Ini membolehkan pelajar memilih bidang pengajian yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.
- Menawarkan Peluang Pendidikan yang Luas: Dengan pelbagai program yang ditawarkan, pusat pengajian ini membolehkan pelajar memilih dari pelbagai bidang seperti teknologi, sains, perniagaan, dan lain-lain. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengeksplorasi minat mereka dan memperluaskan pengetahuan mereka dalam bidang tertentu.
- Menyediakan Jalan Pendidikan Alternatif: Bagi sesetengah pelajar, mengejar diploma selepas menamatkan sekolah menengah merupakan pilihan yang lebih sesuai daripada terus mengejar ijazah. Program-program diploma pilihan utama ini memberi pelajar pilihan untuk mendapatkan kelayakan vokasional atau profesional yang diiktiraf dalam masa yang lebih singkat.
- Memenuhi Permintaan Pasaran Pekerjaan: Dengan menawarkan program-program dalam bidang-bidang yang diminati dan diperlukan oleh pasaran pekerjaan, pusat pengajian ini membantu memenuhi permintaan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu yang kritikal.
- Meningkatkan Aksesibiliti Pendidikan Tinggi: Dengan menyediakan program-program diploma yang berkualiti, UTHM membuka pintu kepada lebih ramai individu untuk mendapatkan pendidikan tinggi yang berkualiti tanpa perlu menghabiskan masa yang lama atau modal yang besar.
Tuntasnya, CeDS di UTHM memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan diri dalam bidang-bidang tujahan yang penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara, selain memberi alternatif pendidikan yang relevan dengan pasaran pekerjaan yang dinamik. Jom, jadikan diploma UTHM pilihan pertama untuk ke menara gading!
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawata...
-
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
-
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21
-
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan
-
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global
-
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16
-
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar
-
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka...
-
Lawatan CeDS ke JPN Johor