Skip to main content

Berita

Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka Bentuk Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Mohamad Nuriman bin Mohd Sallehan
13 Mac 2024, 10:24 am
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka Bentuk Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal

DURIAN TUNGGAL: Sekumpulan pelajar daripada Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh telah berjaya menyertai program Mobiliti Inbound di 10th TMAC Design Workshop 2024 dengan bengkel yang berkonsepkan reka bentuk dan inovasi.

Bengkel yang berlangsung selama 15 hari bermula dari 20 Februari 2024 sehingga 6 Mac 2024, merupakan Program Mobiliti Antarabangsa kali ke-10 yang diselaraskan oleh Tokushima University-UTeM Academic Centre (TMAC) yang dilaksanakan secara bersemuka penglibatan bersama 25 orang pelajar sarjana muda daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Okayama Prefectural University (OPU), dan Tokushima University (TU), Jepun.

Seramai lima orang pelajar program Diploma Kejuruteraan Mekanikal telah mewakili UTHM, iaitu saudara Mohamad Nuriman bin Mohd Sallehan, saudara Adam Haziq bin Hishamudin, saudara Muhammad Ammar Haziq bin Muhd Akmal, saudara Muhammad Amirul Haziqq bin Zairulnizam, dan saudara Waiz Uzair bin Mohd Nazarudin, bersama pensyarah pengiring iaitu Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya dan Ts Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad. Selain daripada dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, program ini juga telah membuktikan keupayaan pelajar program Diploma dalam kemahiran reka bentuk dan inovasi serta sekali gus mampu menarik pujian dan pengiktirafan daripada wakil universiti antarabangsa dengan hasil reka bentuk yang dihasilkan.

Objektif utama program ini selain daripada memberi pendedahan dan pemantapan kemahiran insaniah seperti kemahiran penyelesaian masalah di kalangan pelajar UTeM dan UTHM, ianya juga menyediakan ruang dan peluang kepada setiap peserta untuk berinteraksi dan berkongsi idea dan maklumat inovasi sesama mahasiswa dari universiti antarabangsa yang terlibat. Dengan berpaksikan pada Sustainable Development Goals (SDG) 6 iaitu menyediakan medium air bersih daripada sumber air yang tercemar, kumpulan pelajar ini telah berjaya menjana idea, mereka bentuk dan membentangkan hasil inovasi yang sangat membanggakan dan telah mendapat pujian dan pengiktirafan daripada semua penyelaras universiti-universiti yang terlibat.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun akan datang untuk kebaikan pelajar diploma khususnya dan UTHM amnya dengan penambahan penglibatan pelajar dari pelbagai bidang.