Skip to main content

Berita

PEMAS 2022 Mendapat Sambutan dan Penyertaan Memberangsangkan

Oleh Dr Siti Noraiza binti Ab Razak
07 Oktober 2022, 9:33 am
PEMAS 2022 Mendapat Sambutan dan Penyertaan Memberangsangkan

PAGOH: Pada 1 Oktober 2022, telah berlangsungnya acara pengumuman pemenang Pertandingan Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan (PEMAS) 2022 anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) secara dalam talian.

Program ini dilaksanakan bersempena sambutan Hari Malaysia ke-59 dengan bertemakan Malaysiaku Keluargaku.

Tema ini dipilih sebagai salah satu usaha UTHM menerapkan nilai kebersamaan serta kekitaan seluruh warga Malaysia bukan sahaja sebagai sebuah komuniti yang muafakat, tetapi juga sebagai sebuah keluarga yang harmoni tanpa perbezaan agama, bangsa dan budaya.

Sebanyak empat kategori penyertaan telah dipertandingkan iaitu kategori Deklamasi Puisi, Melukis Poster, Seni Fotografi serta Video Kreatif.

Pertandingan ini dibuka kepada seluruh warganegara Malaysia mengikut tiga kumpulan sasaran iaitu pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di peringkat diploma dan setaraf.

Format pertandingan masih dikekalkan seperti acara tahun lepas iaitu secara dalam talian sekali lagi mencungkil lebih banyak bakat generasi muda yang ditonjolkan melalui karya-karya mereka.

Sisi kreatif serta semangat cintakan negara sebagai satu keluarga besar dipaparkan dengan baik oleh peserta-peserta melalui pemilihan busana ketika melakukan rakaman persembahan serta karya-karya yang dipersembahkan melalui format lukisan dan gambar.

Selain peserta, pujian juga layak diberikan kepada ibu bapa serta guru-guru yang telah memberikan sokongan padu terhadap program ini. Ini dibuktikan dengan penyertaan seramai lebih 540 orang peserta dari seluruh Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

Seramai 36 pemenang utama dari setiap kategori penyertaan telah dipilih hasil dari penilaian dari juri-juri program.

Setiap pemenang utama berjaya memperoleh pingat serta sijil pengiktirafan digital serta hadiah sampingan sumbangan dari pihak penaja.
Pingat penyertaan serta sijil penyertaan digital turut diberikan kepada semua peserta sumbangan dari pihak penaja sebagai cenderahati atas sokongan mereka terhadap program ini.

Peserta dari kumpulan sekolah rendah dan menengah yang telah menghantar karya mereka turut berpeluang memohon markah kokurikulum melalui sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Namun, apa yang lebih membanggakan adalah semangat yang ditonjolkan oleh para peserta, ibu bapa, serta guru-guru sepanjang program ini berlangsung.

Diharapkan program PEMAS akan terus mendapat sokongan dan penyertaan dari seluruh warganegara Malaysia serta dijadikan sebagai medan kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan sasar untuk menunjukkan semangat cintakan tanah air menerusi penghasilan karya-karya mereka.


Majlis Penutup dan Pengumuman Pemenang PEMAS 2022