Skip to main content

Berita

Mahasiswa Baharu Diploma UTHM Wakili Universiti dalam Program Solidariti Gaza

Oleh Dr Siti Samahani binti Suradi
24 Ogos 2025, 11:25 am
Mahasiswa Baharu Diploma UTHM Wakili Universiti dalam Program Solidariti Gaza

KUALA LUMPUR: Pelajar baharu Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tampil mewakili universiti dalam program Malaysiaku Bersama Gaza bersempena pelancaran SUMUD Nusantara di Dataran Merdeka, baru-baru ini. Penyertaan pelajar Diploma Kemasukan 2025/2026 Semester Khas ini mendapat sokongan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) serta bimbingan pensyarah pengiring, Dr Siti Samahani binti Suradi, sekali gus memperlihatkan keprihatinan mahasiswa terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu menghimpunkan masyarakat pelbagai latar untuk menyatakan solidariti kepada Palestin. Pelancaran SUMUD Nusantara turut menggariskan tujuh tekad utama termasuk menolak penormalan hubungan dengan rejim Zionis, mengutuk jenayah kemanusiaan, menyeru tindakan tegas masyarakat antarabangsa, dan memastikan Malaysia kekal konsisten di pentas global.

Acara diisi dengan solat hajat, konvoi SUMUD Nusantara, qasidah, bacaan qunut nazilah, ceramah serta syarahan khas oleh Perdana Menteri Malaysia. Keseluruhan pengisian bukan sahaja memperkukuh nilai rohani, tetapi turut menanam kefahaman tentang tanggungjawab kemanusiaan yang harus dipikul oleh mahasiswa.

Menurut Dr Siti Samahani, gema laungan Gaza Bangkit oleh mahasiswa UTHM melambangkan keberanian generasi muda. Beliau menegaskan penyertaan ini bukan sekadar pengalaman bermakna bagi pelajar baharu diploma, malah memberi kesan positif kepada Pusat Pengajian Diploma UTHM dengan menonjolkan imejnya sebagai pusat melahirkan mahasiswa prihatin, proaktif dan berjiwa kepimpinan.