Skip to main content

Berita

Meneroka Amalan Kelestarian Industri: Pelajar DAK UTHM Timba Pengalaman di Ajinomoto Malaysia

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
21 Mei 2026, 5:33 pm
Meneroka Amalan Kelestarian Industri: Pelajar DAK UTHM Timba Pengalaman di Ajinomoto Malaysia

NEGERI SEMBILAN: Seramai 30 orang pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) bersama empat orang pensyarah pengiring dari Jabatan Sains dan Matematik,Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program lawatan ilmiah ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad. Lawatan ini dilaksanakan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran kursus Teknologi Rawatan Air Sisa (DAK20802) yang diambil oleh pelajar Tahun 2 DAK.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pengurusan dan rawatan air sisa industri yang diamalkan dalam sektor pembuatan makanan. Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang mempelajari proses rawatan air sisa yang dilaksanakan oleh pihak syarikat, termasuk kaedah pengurangan pencemaran, pematuhan terhadap piawaian alam sekitar serta pengurusan sisa yang mampan. Pengalaman ini membolehkan pelajar menghubungkan teori yang dipelajari di dalam kelas dengan aplikasi sebenar di industri.

Melalui sesi taklimat dan lawatan ke kemudahan rawatan air sisa, pelajar didedahkan kepada pelbagai aspek penting seperti ciri-ciri efluen industri, proses rawatan fizikal, kimia dan biologi, pemantauan kualiti air serta kepentingan pematuhan kepada peraturan alam sekitar. Pendedahan ini membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap operasi sebenar sistem rawatan air sisa dan cabaran yang dihadapi oleh industri dalam memastikan pelepasan efluen memenuhi standard yang ditetapkan. Program ini memberikan manfaat yang besar kepada pelajar dengan meningkatkan pengetahuan teknikal, kemahiran pemerhatian serta pemahaman terhadap amalan industri sebenar. Di samping itu, pelajar turut mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai peluang kerjaya dan kompetensi yang diperlukan dalam bidang rawatan air dan alam sekitar.

Selain lawatan ilmiah untuk pelajar, program ini turut membuka ruang perbincangan kolaborasi antara penyelidik kumpulan fokus Sustainable and Renewable Resources Research Group (SURE), UTHM dengan pihak Ajinomoto. Perbincangan yang diadakan fokus kepada potensi kerjasama dalam penyelidikan rawatan air sisa, kelestarian alam sekitar, pengurusan sumber serta pembangunan teknologi hijau yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Lawatan ini menjadi platform kepada pensyarah untuk mendapatkan input industri yang terkini bagi memperkukuh kandungan kursus dan memastikan pengajaran yang disampaikan sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri. Hubungan yang terjalin juga berpotensi membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, latihan industri dan aktiviti pemindahan ilmu.

Secara keseluruhannya, lawatan ilmiah ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuhkan pembelajaran kursus Teknologi Rawatan Air Sisa serta mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menyumbang kepada pembangunan industri yang lestari.


Meneroka Amalan Kelestarian Industri: Pelajar DAK UTHM Timba Pengalaman di Ajinomoto Malaysia