Berita
Program Transformasi Minda 2026 Perkasa Kompetensi dan Integriti Warga CeDS UTHM

BATU PAHAT: Dua staf Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad dan Ts Azliza binti Ahmad telah menyertai Program Transformasi Minda (PTM) 2026 yang berlangsung pada 13 hingga 17 Julai 2026 di Pusat Minda Emas (PUMAS), UTHM, Senggarang, Batu Pahat.
Program selama lima hari tersebut menghimpunkan seramai 47 orang peserta daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab di UTHM. PTM 2026 bertujuan membentuk budaya kerja, sahsiah serta nilai profesionalisme dalam kalangan warga universiti, di samping memperkukuh kefahaman berkaitan amanah, integriti dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai slot pembelajaran merangkumi pembangunan sahsiah diri, sejarah kenegaraan dan sistem pentadbiran negara, tatakelakuan dan tatatertib perkhidmatan awam, etiket dan keterampilan diri, pengurusan pelanggan, hala tuju Malaysia MADANI serta pengurusan rasuah. Pengisian tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan etika, akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas.
Selain mengikuti sesi ceramah dan aktiviti yang disediakan, kedua-dua wakil CeDS turut memainkan peranan aktif dalam jawatankuasa peserta. Ts Muhammad Fazrulhelmi telah dilantik sebagai Ketua Ahli Jawatankuasa Buletin dan Media yang bertanggungjawab menyediakan laporan berita serta dokumentasi bergambar program. Beliau turut terlibat dalam Jawatankuasa Pengacaraan. Sementara itu, Ts Azliza terlibat dalam Jawatankuasa Hadiah dan Barbeku yang bertanggungjawab membantu penyediaan cenderahati kepada peserta dan urus setia.
Program turut diserikan dengan aktiviti pembentukan kumpulan, riadah, sukan, senaman pagi, aktiviti kerja berpasukan serta malam persembahan dan kebudayaan. Aktiviti tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah dan kerjasama, selain mengeratkan hubungan antara warga UTHM daripada pelbagai jabatan dan latar belakang.
Majlis penutup PTM 2026 diadakan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah dan ahli jawatankuasa serta penyampaian hadiah kepada kumpulan dan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang. Program tersebut berakhir dengan jayanya dan meninggalkan pengalaman, ilmu serta kenangan yang bermakna kepada semua peserta.
Penglibatan kedua-dua staf CeDS dalam PTM 2026 mencerminkan komitmen CeDS dalam menyokong pembangunan kompetensi, integriti dan profesionalisme warga kerja. Ilmu serta pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat diterapkan dalam pelaksanaan tugas dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan di CeDS dan UTHM secara keseluruhannya.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis… -
Perkongsian Permohonan Geran IMaP
