Skip to main content

Berita

Memperkasa Generasi Digital Melalui Program Pemindahan Ilmu: Jabatan Teknologi Maklumat Tingkat Kesedaran Keselamatan Siber dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah

Oleh Cik Amirah Barieah binti Amran
16 Jun 2026, 5:19 pm
Memperkasa Generasi Digital Melalui Program Pemindahan Ilmu: Jabatan Teknologi Maklumat Tingkat Kesedaran Keselamatan Siber dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah

PAGOH: Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program – KTP): Pengenalan Keselamatan Siber untuk Pelajar Sekolah Menengah yang melibatkan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir sebagai salah satu inisiatif memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar sekolah menengah terhadap kepentingan keselamatan siber dalam kehidupan seharian, di samping memperkenalkan amalan penggunaan teknologi digital secara selamat, beretika dan bertanggungjawab. Melalui program ini, para peserta didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan ancaman siber seperti penipuan dalam talian (scam), serangan phishing, keselamatan kata laluan, perlindungan data peribadi serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan ketika menggunakan internet dan media sosial. Sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Ts Mohd Hatta bin Mohamed Ali @ Md Hani, manakala pelaksanaan aktiviti program dibantu oleh fasilitator, Cik Amirah Barieah binti Amran, yang memastikan setiap aktiviti berjalan lancar dan interaktif.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan termasuk sesi ceramah, kuiz dan perbincangan berkumpulan bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik serta meningkatkan kefahaman peserta terhadap isu keselamatan siber yang semakin relevan pada masa kini.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Pengarah Program, Dr Junita binti Sulaiman, yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak SMK Bukit Pasir, penceramah, fasilitator serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini. Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh kerjasama antara universiti dan komuniti dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan siber.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Jabatan Teknologi Maklumat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui perkongsian ilmu bersama komuniti, selaras dengan aspirasi UTHM untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta prihatin terhadap keperluan masyarakat.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan literasi digital dan membudayakan amalan keselamatan siber dalam kalangan generasi muda demi melahirkan masyarakat digital yang lebih berpengetahuan, beretika dan berdaya tahan terhadap ancaman siber.