Berita
Semarak Santun CeDS x Konco Motoran Santuni 200 Pelajar

PAGOH: YBhg. Prof. Ts Dr Abdul Mutalib bin Leman, Menjalankan Fungsi Provost Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, telah menyempurnakan Program Semarak Santun CeDS x Konco Motoran Semester 2 Sesi 2025/2026 yang berlangsung di Foyer Blok Pentadbiran, UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Bakat, Kebajikan dan Kesukarelawanan, Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Pusat Pengajian Diploma (CeDS) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Diploma (CeDS) dan komuniti permotoran Konco Motoran. Program tersebut diketuai oleh Ts. Nur Azliza binti Ahmad selaku Pengarah Program serta mendapat sokongan daripada barisan pengurusan, pensyarah, staf dan jawatankuasa pelajar CeDS.
Hadir sama dalam program ini ialah YBrs. Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma, dan YBrs. Dr Muhammad Azri bin Othman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, di samping warga CeDS serta ahli komuniti Konco Motoran.
Penganjuran Semarak Santun merupakan acara kemuncak dan penutup rasmi bagi inisiatif kebajikan Anjung Santun yang telah diperkenalkan sejak awal April 2026. Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyantuni pelajar, khususnya mereka yang memerlukan, serta membantu meringankan beban perbelanjaan harian melalui penyediaan makanan secara percuma.
Ahli Konco Motoran telah bergotong-royong menyediakan makanan untuk 200 orang sebelum bergerak ke UTHM Kampus Pagoh. Makanan tersebut kemudiannya diagihkan kepada para pelajar semasa program berlangsung. Antara pengisian program ialah ketibaan ahli Konco Motoran dari Parit Sulong, bacaan doa, ucapan wakil pengurusan, penyerahan simbolik sempena penutupan Anjung Santun serta pengagihan makanan kepada para pelajar.
Kerjasama strategik bersama Konco Motoran telah memberikan kelainan kepada penganjuran program dengan membuka ruang interaksi antara warga universiti dan komuniti luar. Penglibatan tersebut turut menyemarakkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan, keprihatinan dan budaya perkongsian rezeki dalam kalangan peserta.
Selain membantu meringankan beban pelajar, program ini turut memupuk nilai empati, sikap saling membantu dan tanggungjawab sosial. Penglibatan jawatankuasa pelajar dalam pelaksanaan program juga memberikan pengalaman dalam aspek kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan pengurusan acara.
Secara keseluruhannya, Program Semarak Santun CeDS x Konco Motoran berjaya mencapai matlamat dalam menyantuni pelajar, menghargai para penyumbang serta memperkukuh hubungan antara UTHM dan komuniti luar. Penganjuran ini turut mencerminkan komitmen CeDS dalam mewujudkan persekitaran kampus yang prihatin, harmoni dan sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar.
Semarak Santun CeDS x Konco Motoran
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
