Skip to main content

Berita

Majlis Perasmian UNEVOC UTHM-ADRI Kaltim Summer Course 2026 Perkukuh Jaringan Akademik Malaysia-Indonesia

Oleh Ts Mohd Hatta bin Mohamed Ali @ Md Hani, Fawwaz bin Mohd Nasir
12 Ogos 2026, 9:21 pm
Majlis Perasmian UNEVOC UTHM-ADRI Kaltim Summer Course 2026 Perkukuh Jaringan Akademik Malaysia-Indonesia

PAGOH: Majlis Perasmian UNEVOC UTHM-ADRI Kaltim Summer Course 2026 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, sebagai wadah strategik dalam memperkukuh hubungan akademik serta jaringan antarabangsa antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts Dr Abdul Mutalib bin Leman, Provost UTHM Kampus Pagoh sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan antarabangsa antara UTHM bersama rakan strategik dari Indonesia.

Majlis dihadiri oleh YBrs. Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM; YBrs. Dr Otto Fajarianto, Koordinator Kerjasama Antarabangsa, Fakulti Pendidikan, Universitas Negeri Malang; YBrs. Dr Fikri Aulia, Penyelaras Institut Penyelidikan dan Khidmat Masyarakat, Universitas Negeri Malang; YBrs. Dr Angelia Regita Thamrin, Setiausaha Pertubuhan Pakar dan Pensyarah Republik Indonesia (ADRI) Kalimantan Timur (Kaltim); YBrs. Dr Imelda Hasibuan, Setiausaha Program Sarjana Muda Undang-undang, Awang Long School of Law; serta Ts Mohd Hatta bin Mohamed Ali @ Md Hani, Pengarah Program UNEVOC UTHM-ADRI Kaltim Summer Course; bersama rakan-rakan perwakilan dari ADRI Kaltim, para pensyarah, fasilitator serta para peserta program dari Indonesia dan warga UTHM.

Program ini turut disertai seramai 17 pelajar Indonesia yang terdiri daripada 15 pelajar Universitas Negeri Malang dan dua pelajar Awang Long School of Law. Penganjuran program kali ini menyaksikan CeDS terpilih sebagai tuan rumah dengan kerjasama Pusat Antarabangsa UNESCO bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (UNEVOC) UTHM.

Penyertaan para pelajar tersebut memberikan peluang kepada mereka untuk memperoleh pengalaman pembelajaran dalam persekitaran akademik antarabangsa serta berinteraksi secara langsung dengan warga akademik UTHM.

Penganjuran program ini menjadi wadah yang bermakna untuk para peserta bertukar pandangan, pengetahuan serta kepakaran melalui interaksi akademik yang melibatkan warga institusi pengajian tinggi dari Malaysia dan Indonesia. Program ini secara tidak langsung memperkayakan pengalaman pembelajaran peserta melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dalam persekitaran yang bersifat antarabangsa.

Selain memperluas pengalaman akademik peserta, program ini turut berperanan dalam mengeratkan hubungan serta kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara. Perkongsian kepakaran dan pengalaman yang berlangsung sepanjang program dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan akademik yang lebih kukuh serta membuka peluang kepada kerjasama antarabangsa yang berterusan dalam bidang pendidikan tinggi.

Penganjuran program seumpama ini juga mencerminkan komitmen UTHM dalam memperluas kerjasama akademik di peringkat antarabangsa, khususnya melalui penglibatan pelajar, pensyarah dan institusi pendidikan tinggi dari negara serantau.

Melalui UNEVOC UTHM-ADRI Kaltim Summer Course 2026, hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran, sekali gus menyumbang kepada pembentukan jaringan pendidikan tinggi yang lebih erat dan berdaya saing di peringkat serantau.