Berita
Perkampungan Ilmu SPM 2026 Perkukuh Persediaan Pelajar SMA Shamsuddiniah Menjelang SPM

PAGOH: Seramai 55 orang pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsuddiniah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini menyertai Program Perkampungan Ilmu SPM 2026 yang dianjurkan oleh SMA Shamsuddiniah dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 Ogos 2026 itu bertujuan memberikan pendedahan ilmu, motivasi serta persediaan kepada para pelajar dalam menghadapi peperiksaan SPM, di samping membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas tamat persekolahan.
Pada hari terakhir program, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM berpeluang mengendalikan slot Jejak Kerjaya bagi memperkenalkan UTHM kepada para pelajar serta memberikan pendedahan mengenai pilihan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Slot tersebut disampaikan oleh Dr Syarizul Amri bin Mohd Dzulkifli, Ketua Jabatan, Jabatan Teknologi Maklumat, CeDS, UTHM.
Sesi dimulakan dengan penerangan mengenai laluan pengajian yang boleh dipilih oleh pelajar selepas SPM, diikuti pengenalan kepada UTHM serta penerangan berkaitan program-program diploma yang ditawarkan. Para pelajar turut diberikan penerangan mengenai kelebihan mengikuti pengajian diploma di UTHM, khususnya dalam menyediakan asas akademik dan kemahiran yang relevan dengan keperluan pendidikan tinggi serta dunia pekerjaan.
Slot Jejak Kerjaya turut memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab. Para pelajar menunjukkan minat yang tinggi dengan mengemukakan pelbagai soalan, termasuk berkaitan prospek kerjaya selepas mengikuti program diploma serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sesi ini memberikan ruang kepada pelajar untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai hubungan antara pilihan bidang pengajian dengan laluan kerjaya yang boleh diceburi pada masa hadapan.
Kemuncak program ialah Majlis Penutup Perkampungan Ilmu SPM 2026 yang telah disempurnakan oleh Prof. Ts Dr Abdul Mutalib bin Leman, Provost UTHM Pagoh.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan dalam memberikan sokongan kepada generasi muda, bukan sahaja dari aspek kecemerlangan akademik, malah dalam membantu pelajar merancang hala tuju pendidikan dan kerjaya dengan lebih terarah selepas tamat SPM.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis… -
Perkongsian Permohonan Geran IMaP
