Skip to main content

Berita

UTHM Komited Perkasakan Laluan Kerjaya Skim DV Melalui Sertai Sesi Libat Urus KPT

Oleh Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon, Ts Mohd Hatta bin Mohamed Ali @ Md Hani
21 Ogos 2026, 7:18 pm
UTHM Komited Perkasakan Laluan Kerjaya Skim DV Melalui Sertai Sesi Libat Urus KPT

PEKAN: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited memperkasakan laluan kerjaya staf akademik dengan menyertai Sesi Libat Urus Kajian Penilaian dan Penambahbaikan Garis Panduan Kenaikan Pangkat Staf Akademik bagi Skim Perkhidmatan Latihan Vokasional (DV) peringkat Universiti Awam.

Program anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ini berlangsung di Hotel Ancasa Royale Pekan bertujuan merangka garis panduan baharu yang komprehensif untuk kenaikan pangkat pegawai latihan vokasional skim DV di universiti awam.

Delegasi UTHM diketuai oleh Prof. Madya Dr Mohamad Zaid bin Mustafa (mewakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa). Turut serta ialah Puan Suhaini binti Mohd Gazi (Pejabat Sumber Manusia), Encik Rahmat bin Muslim (wakil skim DV daripada FTK), Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon (wakil skim DV daripada CeDS) dan Ts Mohd Hatta bin Mohamed Ali @ Md Hani (Pegawai Penyelidik lantikan KPT daripada CeDS).

Sesi ini turut dihadiri wakil pengurusan dan akademik dari pelbagai institusi termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) , Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Persatuan Pegawai-Pegawai Latihan Vokasional Malaysia. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr Yatimah binti Alias.

Melalui perbincangan ini, UTHM menaruh harapan tinggi agar garis panduan baharu yang dibangunkan kelak adalah lebih holistik dan mengambil kira keperluan skim perkhidmatan DV secara menyeluruh. Penglibatan aktif delegasi UTHM ini membuktikan keprihatinan universiti dalam memastikan kelangsungan serta kemajuan kerjaya pendidik bidang TVET agar terus terbela dan setanding dengan skim-skim perkhidmatan yang lain.