Skip to main content

Berita

Pelajar UTHM Meraih Emas dan Gangsa di BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026

Oleh Dr Muhammad Faizal bin Ismail
20 Ogos 2026, 7:35 pm
Pelajar UTHM Meraih Emas dan Gangsa di BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026

KUALA LUMPUR: Pelajar Pusat Pengajian Diploma melakar kejayaan membanggakan apabila meraih pingat Emas dan Gangsa dalam pertandingan berprestij BEM Young Engineering Innovation Trophy bersempena BEM National Engineering Convention (NEC) 2026 yang berlangsung di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur dari 18-20 Ogos 2026.

Pertandingan anjuran Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) itu menghimpunkan penyertaan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara. Kehadiran wakil Pusat Pengajian Diploma menerusi Kategori Dublin Accord mencuri perhatian juri menerusi hasil inovasi berimpak tinggi dan berdaya saing.

Pingat Emas berjaya diraih menerusi projek bertajuk Rainwater Harvesting Dual-Source Smart Irrigation System Powered by Solar. Projek inovatif ini dihasilkan oleh kumpulan pelajar Yong Weng Xiong, Daniel Khaw Jun Zhe, dan Tan Yi Xian di bawah bimbingan penyelia, Encik Tuan Mohd Hafeez bin Tuan Ibrahim. Inovasi ini memfokuskan kepada sistem pengairan pintar berkuasa solar yang memanfaatkan sumber air hujan.

Sementara itu, Pingat Gangsa diraih oleh Eugene Lee Chee Keong menerusi projek bertajuk IoT-Based Water and Air Quality Monitoring System Using LoRa Communication yang diselia oleh Dr Muhammad Faizal bin Ismail. Inovasi ini memanfaatkan teknologi IoT untuk pemantauan kualiti air dan udara secara masa nyata.

Atas kecemerlangan tersebut, kesemua pemenang membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai. Trofi utama telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang berlangsung di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2026.

Hadir menerima trofi Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Encik Tuan Mohd Hafeez bin Tuan Ibrahim serta pelajar.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan menguji keupayaan teknikal serta melahirkan bakat kejuruteraan yang berfikiran kritis. Selain aspek teknikal dan inovasi, kelestarian turut menjadi antara pertimbangan utama dalam penilaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjadi elemen penting dalam kriteria pengadilan.

Projek dinilai secara menyeluruh berdasarkan penerapan aspek kelestarian dalam penyelesaian yang dicadangkan, di samping kebolehgunaan serta potensi impaknya kepada masyarakat dan industri. Pencapaian ini membuktikan keupayaan pelajar diploma dalam melahirkan inovasi kejuruteraan bernilai tinggi di peringkat kebangsaan.