Berita
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, CeDS UTHM Jalin Kerjasama Strategik, Adakan Lawatan Penandaarasan ke German-Malaysian Institute (GMI)

KAJANG: Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan satu lawatan penandaarasan rasmi ke German-Malaysian Institute (GMI) pada 4 September 2026. Rombongan seramai lapan orang staf JKE itu diketuai oleh Dekan CeDS, Dr Muhammad Faizal bin Ismail, bersama Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Puan Norhafiza binti Samion, dan Ketua Program Diploma Kejuruteraan Elektrik, Dr Mohd Nurul Al-Hafiz bin Sha'abani. Ketibaan delegasi tersebut telah disambut baik oleh pihak GMI yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Dr Mohd Nazrin bin Mohd Yassin.
Tujuan utama program penandaarasan ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kualiti akademik serta memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dengan kehendak industri semasa. Perbincangan dua hala ini bermatlamat untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan amalan terbaik dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran, terutamanya yang menyentuh hal pembangunan serta pelaksanaan kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting agar proses kesetaraan program TVET Conversion dapat dicapai dengan jayanya.
Sepanjang lawatan itu, delegasi UTHM dan wakil GMI telah memfokuskan perbincangan mendalam berkaitan kurikulum TVET Conversion bagi Program Diploma Kejuruteraan Elektrik (DAE) dan pengintegrasian amalan terbaik dalam penyampaian program TVET. Selain itu, kedua-dua institusi turut bertukar pandangan mengenai perlaksanaan Penilaian Projek Tahun Akhir. Rombongan dari UTHM juga dibawa melawat makmal serta meninjau kemudahan pengajaran dan pembelajaran bersesuaian yang terdapat di GMI.
Lawatan penandaarasan ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut penambahbaikan kurikulum secara teori dan praktikal, malah ia juga membuka ruang yang luas untuk membina jaringan dan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi terbabit. Kerjasama erat ini dijangka akan merangkumi pelbagai prospek termasuklah bidang akademik, penyelidikan, serta pembangunan pendidikan teknikal bagi terus memartabatkan lagi ekosistem TVET di negara ini.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
